fbpx
SULTAN Sallehuddin bertitah pada Istiadat Menyembah Tahniah dan Penganugerahan Darjah-Darjah serta Bintang-Bintang Kebesaran Negeri Kedah di Istana Anak Bukit, Alor Setar hari ini.

Sultan Kedah titah kaji semula bayaran pajakan Pulau Pinang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALOR SETAR – Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bertitah supaya Kerajaan Persekutuan mengkaji semula kadar bayaran pajakan Pulau Pinang mengikut kadar semasa berdasarkan semangat dan maksud asal perjanjian tersebut.

Baginda bertitah memperingatkan bahawa hak dan kedaulatan Kedah seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia hendaklah dihormati oleh semua pihak.

“Bayaran pajakan Pulau Pinang yang diterima oleh kerajaan beta adalah berasaskan perjanjian yang telah lama dimeterai. Namun, kadar yang dibayar pada masa ini adalah jauh lebih rendah berbanding nilai yang sewajarnya. Dalam hal ini, beta mahu Kerajaan Persekutuan mengkaji semula kadar bayaran pajakan Pulau Pinang mengikut kadar semasa berdasarkan semangat dan maksud asal perjanjian tersebut,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Istiadat Menyembah Tahniah dan Penganugerahan Darjah-Darjah serta Bintang-Bintang Kebesaran Sempena Sambutan Ulang Tahun dan Hari Keputeraan Sultan Kedah Ke-84 di Istana Anak Bukit, di sini hari ini.

Turut berangkat ke istiadat itu ialah Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Tengku Ariff serta Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin dan Raja Puan Muda Kedah, Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff.

Sementara itu, Sultan Sallehuddin bertitah, dalam keadaan ekonomi semasa yang mencabar, kerajaan negeri hendaklah menguruskan kewangan secara berhemah dan mengambil tindakan untuk meningkatkan hasil negeri.

“Sebagai sebuah negeri yang berdaulat dan kaya dengan sumber hasil bumi termasuk sumber mineral strategik seperti Rare Earth Elements atau REE, hak dan kuasa negeri untuk mengurus serta meneroka sumber hasil bumi hendaklah dihormati dan dipermudahkan oleh semua pihak.

“Beta berkehendak Kerajaan Persekutuan memberi kerjasama dan memastikan tiada sebarang halangan pentadbiran berlaku di negeri Kedah. Amatlah rugi sekiranya perkara ini gagal dilaksanakan hanya disebabkan perbezaan pandangan dan pemahaman politik sehingga membelakangkan hak dan keperluan negeri,” titah baginda. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN