fbpx
Mohamad ketika mengadakan pertemuan dengan Mohammad Reza.

Malaysia, Iran perluas kerjasama lima sektor penting

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Hubungan Malaysia dan Republik Islam Iran terus diperkukuh apabila kedua-dua negara bersetuju memperluaskan kerjasama strategik dalam beberapa sektor penting termasuk infrastruktur, teknologi, telekomunikasi, pendidikan dan keterjaminan makanan.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, perkara itu dibincangkan dalam pertemuan bersama Naib Presiden Pertama Republik Islam Iran, Dr. Mohammad Reza Aref sempena lawatan rasmi beliau ke negara itu.

“Kerjasama ini diyakini mampu membawa manfaat yang lebih besar kepada rakyat Malaysia dan Iran,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Mohamad berada di Iran bagi mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menghadiri sesi penghormatan terakhir kepada Allahyarham Ayatollah Seyyed Ali Khamenei.

Dalam pertemuan itu, Mohammad Reza turut menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Malaysia atas pendirian yang konsisten menyuarakan sokongan terhadap perjuangan umat Islam serta mengecam kekejaman Amerika Syarikat dan Zionis Israel.

Beliau turut menghargai pendirian Malaysia yang sentiasa menggesa agar keadilan ditegakkan dan keamanan dikembalikan di rantau Asia Barat.

Dalam pada itu, Mohamad turut menyampaikan salam daripada Perdana Menteri kepada kepimpinan Republik Islam Iran sambil menegaskan semangat solidariti dan persahabatan Malaysia terhadap negara itu kekal utuh.

“Insya-Allah, Malaysia akan terus mengamalkan dasar luar yang berprinsip, memperkukuhkan hubungan persahabatan dengan negara-negara sahabat serta menyokong segala usaha ke arah keamanan, keadilan dan kesejahteraan sejagat,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN