fbpx
ANWAR (tengah) bersama pemimpin Kristian Johor pada majlis Hi-Tea di Hotel New York, Johor Bahru hari ini.

PRN Johor: Anwar selar dakyah ketuanan Melayu demi kepentingan politik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JOHOR BAHRU – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan rakyat agar tidak terpengaruh dengan dakyah ketuanan Melayu dan ketaksuban agama yang didakwa terus dimainkan pihak tertentu demi kepentingan politik dan peribadi.

Beliau berkata, naratif berunsur perkauman itu sengaja dibangkitkan untuk meraih sokongan rakyat sedangkan sejarah menunjukkan terdapat pihak yang menggunakan kuasa demi mengumpul kekayaan diri serta kroni.

“Adakah mereka benar-benar prihatin terhadap kaum mereka? Mereka yang sering melaungkan ketuanan Melayu, semakin kuat suara mereka, semakin kaya sehingga ada yang menjadi jutawan.

“Namun apabila bercakap tentang kelangsungan dan ketuanan Melayu, hakikatnya mereka merompak hasil negara dan meminggirkan orang Melayu yang miskin.

“Saya tidak percaya dengan retorik politik yang dimainkan sejak berdekad-dekad dan sebab itu saya memilih untuk terus melawan perkara ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Hi-Tea Pemimpin Kristian Johor Bersama Perdana Menteri di Hotel New York, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, Malaysia hanya mampu mencapai potensi ekonomi sebenar sekiranya rakyat terus mempertahankan kestabilan dan semangat kebersamaan dalam masyarakat berbilang kaum.

Menurut beliau, meskipun Islam merupakan agama majoriti negara, pembangunan dan kestabilan Malaysia dibina atas semangat untuk maju bersama tanpa mengira kaum serta agama.

Beliau berkata, negara kini berada pada kedudukan strategik untuk meraih manfaat daripada pelbagai inisiatif termasuk Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), kecerdasan buatan (AI), transformasi digital serta peralihan tenaga.

Bagaimanapun katanya, pembangunan tersebut perlu berpaksikan nilai moral dan budaya yang kukuh.

“Kita hidup beragama dan berbudaya. Kepelbagaian kaum dan budaya perlu diraikan dengan saling menghormati antara satu sama lain,” katanya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN