fbpx
PENULIS memakai pakaian tradisional Korea, hanbok ketika mengunjungi Pulau Nami (kiri), manakala OLIVE YOUNG merupakan syurga barangan kecantikan di Korea Selatan (kanan).

Cuti beli-belah produk kecantikan di Korea Selatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Percutian ke Korea Selatan menjadi antara pengalaman yang paling menyeronokkan buat saya.

Walaupun negara itu bukan lagi destinasi asing, namun setiap kunjungan tetap memberikan pengalaman berbeza. Ada sahaja tempat baharu untuk diterokai dan aktiviti menarik untuk dicuba.

Gabungan budaya tradisional, gaya hidup moden serta perkembangan industri kecantikan menjadikan Korea Selatan sentiasa berada dalam senarai destinasi yang ingin saya kunjungi.

Salah satu lokasi wajib saya singgah ialah Olive Young. Kedai rangkaian kecantikan itu terkenal sebagai syurga produk penjagaan kulit dan kosmetik. Hampir semua jenama popular Korea boleh didapati di bawah satu bumbung.

Lebih menarik, banyak produk ditawarkan pada harga promosi yang lebih murah berbanding harga biasa.

Saya mengambil peluang membeli stok produk penjagaan kulit kegemaran, selain mencuba beberapa jenama baharu yang sukar ditemui di Malaysia.

Suasana di dalam kedai juga sentiasa meriah dengan kehadiran pelancong dari pelbagai negara yang sama-sama mencari produk kecantikan terbaik.

Namun kini, kebanyakan jenama kecantikan yang ditemui di sana juga sudah pun banyak dijual di Malaysia.

Selain membeli-belah, saya turut menikmati pengalaman memakai ‘hanbok’ ketika mengunjungi Pulau Nami. Suasana di pulau itu cukup tenang dengan deretan pokok yang indah. Memakai pakaian tradisional Korea menjadikan pengalaman berjalan di sekitar kawasan itu terasa lebih istimewa.

Walaupun ramai memilih memakai hanbok ketika melawat istana di Seoul, namun saya mahu mencuba sesuatu yang sedikit berbeza.

Gabungan keindahan alam semula jadi di Pulau Nami dengan busana tradisional Korea memberikan suasana yang unik.

Sebagai peminat dunia wangian, saya juga tidak melepaskan peluang mengunjungi butik Tamburins. Jenama itu semakin dikenali di seluruh dunia, apatah lagi sering dikaitkan dengan bintang K-pop terkenal, Jennie.

Rekaan butik yang moden dan artistik membuatkan saya berasa seperti berada di sebuah galeri seni.

Setiap sudut butik direka dengan begitu teliti sehingga pengalaman membeli minyak wangi terasa lebih eksklusif. Saya meluangkan masa menghidu pelbagai pilihan haruman sebelum memilih wangian yang paling menepati cita rasa untuk dibawa pulang.

Korea Selatan kekal menjadi destinasi pelancongan popular, khususnya bagi penduduk Malaysia.

Ia menawarkan pemandangan menarik dan seleksi produk kecantikan yang berkualiti tinggi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN