ANGIN bandar menyapa lembut, bunyi kota mengisi ruang dan pemandangan Kuala Lumpur (KL) terbentang tanpa halangan di depan mata.
Dari atas bas terbuka KL Hop-On Hop-Off (HOHO) terasa seolah-olah KL sedang memperkenalkan dirinya satu per satu.
Pengalaman itu menjadi lebih bermakna apabila pengunjung dapat melawat pelbagai tarikan utama di ibu negara melalui dua laluan utama iaitu City Route dan Garden Route.
City Route merangkumi kawasan ikonik seperti Bukit Bintang, Menara Berkembar Petronas (KLCC), Menara KL, Aquaria KLCC, Jalan Alor, Chinatown dan Menara TRX.

Sementara Garden Route membawa pengunjung ke destinasi berunsur warisan dan alam seperti Central Market, Muzium Negara, Istana Negara, Taman Botani, Taman Burung, Masjid Negara serta Dataran Merdeka.
Gabungan kedua-dua laluan itu memberikan akses menyeluruh kepada pengalaman bandar dan budaya Kuala Lumpur.
Sehubungan itu, Tourism Malaysia dan pengendali HOHO melancarkan Kempen Domestik Tourism Malaysia sebagai usaha merangsang perjalanan domestik serta membina momentum ke arah Visit Malaysia 2026 (VM2026).
Majlis pelancaran kempen itu telah diadakan di Kiosk KL HOHO, Plaza Sungei Wang, Kuala Lumpur yang dirasmikan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing.

Menurut King Sing, inisiatif itu mencerminkan komitmen berterusan sektor awam dan swasta dalam mempromosikan pelancongan domestik, meningkatkan kesedaran destinasi serta menggalakkan rakyat Malaysia meneroka pelbagai tarikan dalam negara.
Katanya, pelancongan domestik kekal sebagai tonggak penting industri pelancongan negara kerana menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, penciptaan pekerjaan dan pembangunan komuniti.
“Kerjasama ini bukan sahaja menggalakkan rakyat Malaysia meneroka semula tarikan di bandar sendiri, tetapi turut memperkukuh industri serta memperkayakan kualiti produk pelancongan,” ujarnya.
Sebagai perkhidmatan lawatan bandar utama, HOHO menyediakan akses tersusun ke tarikan pelancongan utama termasuk kawasan warisan, budaya dan gaya hidup.
Kempen itu turut melengkapi usaha Tourism Malaysia dalam menggalakkan perjalanan domestik melalui pengalaman pelancongan yang mudah diakses dan bernilai.
Sempena kempen itu, enam buah bas akan dihiasi dengan pembalutan yang memaparkan destinasi menarik di seluruh negara.
Bagi memastikan pengalaman lebih interaktif, setiap bas turut dilengkapi kod QR yang menyediakan akses kepada maklumat VM2026.
Ujar King Sing, inisiatif itu dijangka memperkukuh promosi destinasi, merangsang pergerakan pelawat serta menjana limpahan ekonomi kepada perniagaan tempatan dan industri pelancongan.














