KUANTAN – Doktor, jurutera, juruaudit, pegawai tadbir dan diplomatik, pakar kewangan dan pelbagai lagi jawatan dalam bidang profesional.
Itu adalah antara jawatan dalam bidang profesional yang disandang bekas pelajar Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) yang membuktikan kejayaan besar kejayaan negeri dalam membangunkan institusi tahfiz di negara ini.
Malah lebih membanggakan ada antara pelajar yang bukan sahaja melanjutkan pengajian di luar negara, malahan turut ditawarkan berkhidmat di luar negara sebagai doktor dan sebagainya.
Antara nama yang menjadi figura MTNP adalah seperti Dr. Muhammad Dawotd Khan Mad Mikhan yang merupakan Doktor Ortopedik Hospital Sungai Buloh; Dr. Balqis Zulkifle (Doktor Gigi); Dr. Mohd. Nazmi Nordin (Doktor Bedah ENT di Nortwick Park Hospital United Kingdom); Afifa Aisyah Idris (Juruaudit di Ernst & Young), Ariff Farhan Zulkifli (Eksekutif Operasi Petronas), Muhammad Iqbal Ahmad Fadzli (Juruaudit KPMG), Muhammad Adam Faliq Abdul Ghani(Penganalisis Kewangan Bank Negara Malaysia) dan Taufik Ahmad (PTD di United Kingdom).
Namun hakikatnya kejayaan MTNP ini adalah hasil daripada dokongan Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan kerajaan negeri di bawah kepimpinan Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Wan Rosdy berkata, Kerajaan Negeri Pahang sentiasa meletakkan agenda pendidikan Islam dan pembangunan tahfiz sebagai antara keutamaan negeri yang juga selari dengan Aspirasi Pahang 1st yang menjadikan pemerkasaan agama Islam sebagai tiang seri kepada pembangunan negeri.
“Kita percaya bahawa negeri yang makmur bukan hanya negeri yang kaya dengan hasil bumi, tetapi negeri yang subur dengan ilmu, dihiasi akhlak dan dipimpin oleh generasi yang dekat dengan Allah SWT.
“Atas keyakinan bahawa pembangunan tahfiz perlu dirancang secara menyeluruh dan berterusan, Kerajaan Negeri melalui Yayasan Pahang telah membangunkan satu ekosistem pendidikan tahfiz yang lengkap dan tersusun,” katanya di sini semalam.
Menurutnya, hasil daripada perancangan dan pelaburan yang tersusun ini, Maahad Tahfiz Negeri Pahang dan Maahad Tahfiz Turath Negeri Pahang telah membuktikan kecemerlangan apabila keputusan SPM 2025 meletakkan institusi tahfiz milik Kerajaan Negeri Pahang ini dalam kelompok tiga institusi pendidikan terbaik di Malaysia.
Katanya, ini juga membuktikan kepada semua bahawa pendidikan tahfiz dan kecemerlangan akademik boleh bergerak seiring.
Malah, katanya, kerajaan negeri juga mewujudkan program Tahfiz Mahir sebagai usaha untuk mempersiapkan belia-belia tahfiz dengan bidang kemahiran atau TVET agar mereka boleh berdikari, berkerjaya dan berdaya saing.
Katanya, di samping itu, perjalanan pendidikan tahfiz di Negeri Pahang kini melangkah ke satu dimensi yang lebih besar yang mana atas kebijaksanaan dan pandangan jauh Sultan Pahang juga, Negeri Pahang telah mencipta sejarah apabila menubuhkan Universiti Al-Quran Al-Sultan Abdullah Ahmad Shah Pahang atau UNIQSAAS, iaitu universiti al-Quran pertama di Malaysia.
“Penubuhan universiti ini melengkapkan rantaian pendidikan tahfiz Negeri Pahang daripada peringkat awal kanak-kanak melalui Tadika Tahfiz sehingga ke menara gading.
“Lebih penting, UNIQSAAS bakal menjadi pusat pengembangan ilmu al-Quran, penyelidikan Islam serta penghasilan ilmuwan dan cendekiawan yang mampu membawa suara Islam yang sederhana, progresif dan berwibawa ke pentas dunia,” katanya.
Dalam pada itu Wan Rosdy berkata, pembangunan pendidikan tahfiz tidak akan berjaya tanpa sokongan institusi-institusi tahfiz yang beroperasi di seluruh negeri.
Katanya, kerajaan negeri akan terus memperkukuh usaha ini agar lebih banyak institusi tahfiz dapat didaftarkan dan seterusnya menikmati pelbagai bentuk sokongan serta pembangunan yang disediakan.
Menyedari hakikat itu, katanya, kerajaan negeri sentiasa berusaha membantu dan memperkasa institusi tahfiz agar terus berkembang secara lebih teratur dan berdaya saing.
“Alhamdulillah, usaha menggalakkan pendaftaran institusi tahfiz menunjukkan perkembangan yang amat memberangsangkan. Jika pada tahun 2018 hanya terdapat 29 institusi tahfiz sahaja yang berdaftar, hari ini jumlah tersebut telah meningkat kepada 141 institusi.
“Peningkatan yang begitu ketara ini membuktikan bahawa institusi tahfiz di Negeri Pahang semakin tersusun, diyakini masyarakat dan bergerak dalam satu ekosistem pendidikan yang lebih sistematik,” katanya.
Sementara Pegawai Eksekutif MTNP, Datuk Mohd. Lafzul Muda berkata, daripada 2007 hingga 2025 terdapat sebanyak 822 alumni tahfiz profesional direkodkan.
Katanya, bilangan alumni tahfiz profesional MTNP yang menyambung pelajaran ke luar negara dianggarkan seramai 100 orang iaitu 17 peratus daripada jumlah keseluruhan.














