JOHOR BAHRU – Pakatan Harapan (PH) berikrar menjadikan Johor sebagai kuasa ekonomi yang mampu berkembang atas kekuatan sendiri dan tidak sekadar menjadi ‘feeder’ kepada ekonomi Singapura.
Naib Presiden PKR, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, Johor mempunyai pelbagai kelebihan untuk muncul sebagai negeri termaju dan menjadi pemacu ekonomi baharu negara.
Menurut beliau, rakyat Johor perlu memperoleh peluang pekerjaan yang baik di negeri sendiri tanpa perlu bergantung kepada negara jiran.
“Johor bukan hanya menjadi penyendal ataupun ‘feeder’ kepada mana-mana kuasa di rantau ini. Johor mesti mampu berdiri kukuh dan membawa harapan baharu kepada Malaysia.
“Kita mahu rakyat Johor bekerja di Johor dengan gaji yang baik, bukan terpaksa berulang-alik ke Singapura setiap hari untuk mencari rezeki,” katanya ketika melancarkan Manifesto Pakatan Harapan (PH) Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi PH Johor, Aminolhuda Hassan; Pengerusi DAP Johor, Teo Nie Ching dan Pengerusi PKR Johor, Datuk Seri Dr. Zaleha Mustafa.
Beliau berkata, projek strategik seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), RTS Link, Forest City dan pelabuhan baharu perlu dimanfaatkan bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berpendapatan tinggi.
Katanya, sekiranya PH diberi mandat mentadbir negeri, pelan pembangunan menyeluruh akan disediakan dalam tempoh tiga hingga enam bulan bagi memastikan setiap daerah menikmati limpahan pembangunan.
Amirudin berkata, PH yakin Johor mampu menjadi ‘Shenzhen Asia Tenggara’ melalui perancangan ekonomi yang lebih tersusun dan seimbang serta manfaat pembangunan diperluaskan ke seluruh negeri. – KOSMO! ONLINE














