fbpx
Gambar hiasan.

Empat termasuk tentera wanita digantung tugas didakwa tipu pelaburan minyak wangi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Empat individu termasuk anggota tentera wanita yang digantung tugas didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menipu seorang lelaki berhubung pelaburan minyak wangi yang tidak wujud.

Bagaimanapun Puteri Alisa Nabila Muhamad Razali, 23, yang merupakan anggota tentera serta tiga pekerja minyak wangi iaitu Mohamad Nazirul Azri Fairus, 29, Mariam Najwa Mahadi, 27, dan Khor Leong Weong, 48, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Majistret Faezahnoor Hassan.

Mengikut pertuduhan, keempat-empat mereka didakwa telah menipu seorang anggota tentera lelaki berusia 20 tahun dengan memperdaya mangsa untuk menyertai satu pelaburan minyak wangi yang tidak wujud.

Perbuatan itu telah mendorong mangsa memindahkan wang atas talian sebanyak RM38,400 ke akaun bank milik Mariam Najwa yang mana mangsa tidak akan menyerahkan wang itu sekiranya tidak akan diperdayakan.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah restoran di Sentul di sini pada 2 Mei lalu yang didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan pemenjaraan tidak kurang 10 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Fadly Mohd. Zamry menawarkan jaminan RM50,000 bagi tertuduh Puteri Alisa manakala RM10,000 bagi tiga lagi tertuduh lain.

“Pihak pendakwaan menawarkan jaminan tinggi RM50,000 kepada Puteri Alisa berikutan tertuduh merupakan anggota tentera yang telah bolos sejak lebih setahun lalu,” kata Mohd. Fadly.

Bagaimanapun peguam Muhammad Naqib Aiman Mohd. Faizal yang mewakili keempat-empat tertuduh memohon jumlah ikat jamin dikurangkan dengan alasan kesemua anak guamnya mempunyai tanggungan keluarga.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak Majistret Faezahnoor membenarkan tertuduh Puteri Alisa diikat jamin RM14,000 manakala tiga lagi tertuduh iaitu Mohamad Nazirul, Mariam Najwa dan Leong Weong diikat jamin RM7,000.

Mahkamah juga turut mengenakan syarat tambahan iaitu pasport kesemua tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan menetapkan 21 Ogos ini bagi sebutan semula kes. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN