KUALA LUMPUR – Sebanyak 20 kenderaan disita manakala 159 notis kompaun dikeluarkan dalam Operasi Bersepadu Pemandu Bukan Warganegara (Ops PBW) Siri 1 Tahun 2026 di sekitar Pusat Bandar Utara, Pasar Borong Kuala Lumpur, semalam.
Operasi bersepadu itu dilaksanakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Polis Diraja Malaysia (JSPT PDRM).
DBKL dalam kenyataan memaklumkan, operasi berkenaan dijalankan di sekitar Jalan 2/3A, Jalan 6/3A dan Jalan 9/3A bagi mengesan pelbagai kesalahan jalan raya melibatkan pemandu serta pemilik kenderaan.
Menurut kenyataan itu, antara kesalahan dikesan termasuk memandu tanpa lesen, lesen memandu tidak sah, cukai jalan tamat tempoh, tiada perlindungan insurans, pelanggaran spesifikasi teknikal kenderaan, membuat halangan lalu lintas serta memandu secara berbahaya.
“Operasi ini turut memberi tumpuan kepada pemandu warga asing termasuk pemegang kad UNHCR dan lain-lain pelanggaran kesalahan jalan raya.
“Menerusi operasi bersepadu ini, DBKL telah mengeluarkan lapan notis kompaun, JSPT PDRM mengeluarkan 15 notis kompaun manakala JPJ mengeluarkan 136 notis kompaun atas pelbagai kesalahan lalu lintas,” katanya.
Kesemua kompaun itu dikeluarkan mengikut Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 dan Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dalam operasi sama, JPJ turut menyita 20 kenderaan yang melakukan pelbagai kesalahan lalu lintas membabitkan tujuh trak pengangkat, tiga kereta, lapan motosikal dan dua motosikal elektrik.
“Sitaan itu termasuk kenderaan yang dipandu warga asing tanpa dokumen sah.
“Kesemua kenderaan yang disita dipindahkan ke JPJ Wangsa Maju bagi tindakan dokumentasi selanjutnya,” menurut kenyataan itu. – KOSMO! ONLINE














