KOTA BHARU – Kementerian Pertahanan (Mindef) menjalankan siasatan dengan memberi tumpuan kepada penilaian faktor manusia dan aspek teknikal peralatan bagi mengenal pasti punca kejadian yang mengakibatkan dua anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) cedera ketika latihan senjata api di Kem Hobart, Kedah pada 29 Jun lalu.
Timbalan Menterinya, Adly Zahari berkata, langkah tersebut bagi mengelakkan insiden tersebut berulang pada masa akan datang.
Katanya, walaupun insiden seperti itu jarang berlaku, setiap kejadian akan dinilai secara menyeluruh sebelum langkah penambahbaikan dilaksanakan bagi mengelakkan ia berulang.
“Walaupun kes itu jarang berlaku, kita menjalankan siasatan mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan mengambil kira semua aspek dengan menilai faktor manusia dan teknikal peralatan.
“Apabila menerima laporan siasatan, kita akan menentukan langkah susulan yang perlu diambil supaya kejadian itu tidak berulang. Mindef sentiasa membuat penilaian setiap kali berlaku sesuatu insiden,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Jelajah Wira Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) Edisi Pantai Timur di Kem Desa Pahlawan, Ketereh di sini hari ini.
Adly memberitahu, pihaknya terus berpegang kepada SOP sedia ada dalam setiap latihan dan siasatan yang dijalankan akan menjadi asas kepada sebarang penambahbaikan aspek keselamatan.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, dua anggota tentera cedera selepas senjata api yang digunakan meletup disyaki akibat masalah teknikal ketika menjalani latihan menembak di Kem Hobart, Gurun di Kedah pada 29 Jun lalu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.05 petang itu, seorang anggota berpangkat sarjan berusia 35 tahun yang juga jurulatih mengalami kecederaan pada pangkal lutut kanan dan menerima lapan jahitan.
Seorang lagi anggota berpangkat koperal berusia 29 tahun masih menerima rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani apabila dipercayai mengalami kecederaan saraf pada pangkal lutut kiri. – KOSMO! ONLINE














