SEBERANG PERAI – Tiada lagi amaran diberikan kepada individu yang membuang sampah merata-rata di negeri ini setelah Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) terhadap pesalah telah dikuatkuasakan mulai hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri, H’ng Mooi Lye berkata, tindakan itu dilaksanakan mengikut Akta Kerajaan Tempatan (Pindaan) 2025 (Akta A1772) serta Akta Jalan, Parit dan Bangunan (Pindaan) 2025 (Akta A1773).
Beliau berkata, individu yang didapati membuang, menempatkan, mencampakkan atau meninggalkan sampah di tempat awam akan terus dikenakan tindakan penguatkuasaan tanpa sebarang amaran.
“Pasukan penguat kuasa akan membuat rondaan di lokasi panas pembuangan sampah dan dilengkapi kamera badan bagi merakam gambar serta video sebagai bukti.
“Jika kesalahan dapat dibuktikan, notis akan dikeluarkan untuk membawa pesalah ke mahkamah dan jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan denda sehingga RM2,000 atau diperintahkan menjalani khidmat masyarakat sehingga 12 jam, atau kedua-duanya sekali,” katanya selepas meninjau pelaksanaan PKM di Seberang Perai hari ini. – KOSMO! ONLINE














