SHAH ALAM – Kerajaan Selangor mengarahkan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) bersama pemaju berkaitan menyegerakan kerja-kerja penambahbaikan kemudahan infrastruktur di sekitar stesen Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) Laluan Shah Alam susulan kebimbangan terhadap aspek keselamatan pengguna.
Arahan itu dibuat susulan penularan video memaparkan kemudahan pejalan kaki dan lintasan zebra yang masih belum lengkap di Stesen LRT3 Stadium Shah Alam dan Stesen Dato’ Menteri.
Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Datuk Ng Suee Lim berkata, hasil pemeriksaan mendapati masih terdapat beberapa kemudahan, khususnya laluan pejalan kaki yang belum disiapkan sehingga menimbulkan risiko kepada pengguna.
“Kami mengambil maklum video viral (tular) dan turun padang melihat masalah yang ditularkan itu. Buat masa ini tiada penyelesaian jangka pendek. Penyelesaian terbaik ialah memastikan semua kemudahan yang masih belum siap disempurnakan secepat mungkin,” katanya ketika meninjau Stesen LRT3 Stadium Shah Alam di sini hari ini.
Menurut beliau, kerajaan negeri akan memanggil syarikat berkaitan termasuk Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) dalam masa terdekat bagi membincangkan langkah penyelesaian.
“Kerja-kerja penambahbaikan di Stesen Dato’ Menteri dijangka siap dalam tempoh dua bulan. Bagi Stesen Stadium Shah Alam pula, kerja naik taraf mengambil masa lebih lama kerana melibatkan tender daripada beberapa pemaju. Apapun, kita akan pantau sekitar kawasan ini dari semasa,” katanya. – KOSMO! ONLINE














