KUALA LUMPUR – Malaysia kini mengutamakan penyaluran bantuan kemanusiaan ke Gaza melalui laluan darat di sempadan Rafah susulan pembukaan semula pintu masuk itu yang disifatkan lebih cekap dan selamat.
Timbalan Menteri Luar, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, pembukaan laluan berkenaan membolehkan bantuan penting disampaikan terus kepada penduduk Palestin dengan lebih berkesan.
“Dengan pembukaan pintu Rafah, adalah lebih baik kita menghantar bantuan melalui laluan itu supaya ia dapat dirasai oleh penduduk Gaza,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Ahmad Saad @ Yahaya (PN-Pokok Sena) mengenai perancangan pasca-misi Global Sumud Flotilla (GSF) serta usaha meningkatkan sokongan dalam kalangan negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
Menurut Lukanisman, penyertaan mana-mana individu atau aktivis tempatan dalam misi kemanusiaan seperti GSF selepas ini adalah keputusan peribadi masing-masing berlandaskan prinsip memperjuangkan isu Palestin.
Katanya, kerajaan akan memberikan bantuan sekiranya timbul sebarang masalah melibatkan rakyat Malaysia yang menyertai misi berkenaan.
Dalam pada itu, beliau berkata, meskipun mengutamakan laluan darat, kerajaan tetap mengiktiraf kepentingan misi pelayaran seperti GSF sebagai platform memberi tekanan kepada rejim Israel dan menarik perhatian masyarakat antarabangsa terhadap krisis kemanusiaan di Gaza.
“Malaysia turut berjaya menyalurkan pelbagai bentuk bantuan termasuk makanan, ubat-ubatan dan lampu solar kepada penduduk Gaza melalui pendekatan sedia ada.
“Wisma Putra terus memperkukuh tekanan diplomatik secara kolektif menerusi Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Kesatuan Eropah (EU), termasuk melalui Deklarasi Brussels 2026 bagi memastikan isu Palestin terus mendapat perhatian masyarakat antarabangsa,” katanya.
Terdahulu, Lukanisman berkata, kerajaan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan rejim Zionis menahan peserta misi GSF 2.0 serta merakamkan penghargaan kepada kerajaan Turkiye yang membantu membawa pulang kesemua 29 sukarelawan Malaysia dengan selamat. – KOSMO! ONLINE














