KUALA TERENGGANU – Seorang penjawat awam wanita berputih mata selepas kerugian RM22,033.56 akibat diperdaya skim pelaburan tidak wujud.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, pada mulanya, wanita tersebut tertarik dengan iklan pelaburan di Facebook pada pukul 10 pagi, 15 Jun lalu.
“Dia kemudiannya berhubung dengan individu tidak dikenali mendakwa kononnya wakil syarikat skim pelaburan tersebut sebelum membayar RM300 sebagai modal pelaburan awal pada 9.24 malam, Khamis minggu lalu
“Wanita tersebut kemudiannya telah dihubungkan pula dengan individu lain yang juga didakwa merupakan pegawai skim pelaburan,” katanya di sini hari ini.
Azli berkata, penjawat awam tersebut turut mengikut arahan suspek untuk membuat beberapa pembayaran lain secara pindahan bank antara pukul 1.57 tengah hari pada Jumaat lalu hingga 10.33 pagi semalam.
“Mangsa akhirnya menyedari tertipu apabila diarahkan terus membuat pembayaran lagi biarpun tetap tidak menerima sebarang keuntungan,” katanya.
Azli menasihatkan orang ramai agar berwaspada kerana tiada skim pelaburan yang mampu menjamin keuntungan cepat pada kadar tidak munasabah. – KOSMO! ONLINE














