fbpx
REEZAL Merican (kiri) menunjukkan tanda bagus ketika memantau pelaksanaan SOP Protokol Pengurusan Penonton di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri malam kelmarin. – RAJA JAAFAR ALI

KBS berpuas hati SOP dalam stadium

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Oleh MOHAMAD FAIZAL HASHIM

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) berpuas hati dengan pe­ngurusan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) Protokol Pengurusan Penonton di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor malam kelmarin.

Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, aksi Harimau Selatan menentang Melaka United FC itu menjadi ‘pembuka laluan’ untuk stadium lain di seluruh negara menerima kehadiran penonton selepas ini.

Katanya, bagi persediaan perlawanan itu, seramai 260 petugas yang terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Timbalan Setia Johor, marsyal stadium dan juga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berjaya bertindak memastikan pematuhan SOP dijalankan sebaik mungkin.

“Bagi perlawanan ini, KBS turut menjemput wakil Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan (KKM) dan PDRM untuk melihat sendiri dan menilai keberkesanan Protokol Pengurusan Penonton khususnya dalam aspek pergerakan, kemasukan dan penyuraian penonton semasa perlawanan berlangsung.

“Tahniah buat pihak Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) yang berjaya menyediakan protokol yang cukup komprehensif dan berkesan. Saya berpuas hati pematuhan SOP yang diuruskan oleh pihak pengurusan stadium JDT malam ini (kelmarin).

“Saya berharap ia akan menjadi penanda aras kepada usaha KBS meyakinkan MKN dan KKM untuk memberikan kebenaran bagi kemasukan penonton ke stadium untuk perlawanan sukan lain pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan pemantauan pelaksanaan SOP Protokol Pengurusan Penonton di Stadium Sultan Ibrahim di sini malam kelmarin.

Sebelum ini, kerajaan membenarkan kehadiran penonton bermula semalam dan ia akan dimulakan secara percubaan melibatkan dua buah venue perlawanan iaitu di Stadium Sultan Ibrahim serta perlawanan Kuala Lumpur FC menentang Sabah FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras malam semalam.

Terdahulu, tinjauan di Stadium Sultan Ibrahim sejak jam 5 petang menyaksikan peminat sudah mula beratur mengikut
jarak fizikal di pintu masuk ditetapkan.

Peminat mula dibenarkan masuk ke stadium pada pukul 6 petang dan mereka perlu mengimbas suhu, memakai cecair sanitasi serta mengimbas kod QR di pintu masuk automatik stadium berkenaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN