KUALA LUMPUR – Seorang lelaki patah kaki apabila van Daihatsu dinaikinya merempuh pembahagi lorong tol di Lebuh Raya Setiawangsa-Pantai Expressway menghala ke Setiawangsa berhampiran Plaza Tol Wangsa Maju, di sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 1.22 petang itu, mangsa yang berusia lingkungan 30-an berjaya dikeluarkan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Komander Operasi, PBK I Mohd Arif Nasarudin berkata, sebaik tiba di lokasi, pihaknya mendapati sebuah van Daihatsu telah melanggar pembahagi lorong tol.
“Terdapat dua mangsa lelaki berusia lingkungan 30-an. Seorang mengalami kecederaan ringan, manakala seorang lagi tersepit.
“Mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan pada pukul 1.35 petang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, Pusat Gerakan Operasi JBPM Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 1.22 petang sebelum menggerakkan 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Wangsa Maju ke lokasi. – KOSMO! ONLINE














