PETALING JAYA – Pembukaan sistem Transit Aliran Ringan (LRT3) Laluan Shah Alam memberi kelegaan kepada pengguna jalan raya apabila ramai netizen berkongsi masalah kesesakan di beberapa laluan utama sekitar Shah Alam dan Klang semakin berkurangan.
Pengguna Threads @Otterphant berkongsi keadaan jalan yang lengang sekali gus membuktikan rakyat Malaysia terutama warga kota memerlukan lebih banyak sistem pengangkutan awam yang cekap.
“Orang ramai naik LRT3 sampai lebuh raya dah tak banyak kereta. Itu maksudnya apa? Itu maksudnya rakyat Malaysia perlukan lebih banyak kenderaan awam. Tolonglah kerajaan Malaysia, banyakkan lagi ya (perkhidmatan awam),” katanya.
Seorang lagi pengguna, @Nurfatinijamil turut memuat naik gambar perbandingan situasi jalan raya sebelum dan selepas pembukaan LRT3 sambil mengucapkan penghargaan terhadap sistem pengangkutan baharu itu.
“Terima kasih LRT3. Dah kurang kesesakan trafik,” katanya.
Sementara itu, pengguna @itswinghoong berkongsi keadaan trafik menuju ke AEON Bukit Tinggi pada pukul 1.09 tengah hari yang lazimnya sesak, namun kali ini dilihat lancar selepas LRT3 beroperasi.
Pemilik akaun @Amir4razali pula menyifatkan keadaan di Plaza Tol Setia Alam pada pukul 8 pagi jauh lebih lancar berbanding kebiasaan.
“Terima kasih LRT3! Tol Setia Alam pada pukul 8 pagi dah tak sesak. Selalunya waktu macam ini mesti kereta melekat (sesak),” katanya.
LRT3 Laluan Shah Alam sepanjang 37.8 kilometer yang menghubungkan Bandar Utama dan Johan Setia, Klang mula beroperasi semalam.
Kerajaan turut menawarkan tambang percuma selama sebulan sehingga 31 Julai bagi menggalakkan orang ramai menggunakan perkhidmatan tersebut.- KOSMO! ONLINE














