fbpx
Dr. Zulkifli.

Dr. Zulkifli puji drama Teach You A Lesson, angkat pendidikan jadi tema utama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri memuji drama Korea Teach You A Lesson kerana mengangkat pendidikan sebagai tema utama yang disifatkannya membawa mesej besar kepada masa depan sesebuah negara.

Menerusi hantaran di laman Threads, Dr. Zulkifli berkata, perhatian beliau pada mulanya tertumpu kepada pelbagai mesej yang diterimanya daripada orang ramai berkaitan istilah BPHP yang sering dikaitkan dengan drama tersebut.

Menurutnya, pada awalnya beliau menyangka BPHP merujuk kepada ‘blood pressure’ atau tekanan darah sebelum dimaklumkan oleh kakitangannya bahawa singkatan itu sebenarnya ialah Biro Perlindungan Hak Pendidikan, sebuah organisasi fiksyen dalam drama Korea berkenaan.

Katanya, apa yang lebih menarik perhatian bukanlah aksi atau jalan cerita drama itu, sebaliknya mesej yang dibawa mengenai kepentingan sistem pendidikan.

“Apabila sesebuah drama memilih pendidikan sebagai tema utama, ia memberi isyarat bahawa kemajuan sesebuah negara bermula daripada sistem pendidikannya.

“Jika pendidikan rosak, generasi akan rosak. Sebaliknya, jika pendidikan diperkukuhkan, masa depan negara akan lebih terjamin,” katanya.

Dr. Zulkifli turut mengaitkan mesej itu dengan kata-kata Imam al-Syafi’i bahawa seseorang tidak akan memperoleh ilmu tanpa berguru dan menempuh tempoh pembelajaran yang panjang.

Menurutnya, pesanan tersebut menjelaskan pendidikan tidak akan berjaya tanpa guru yang membimbing serta masa untuk membentuk ilmu, adab dan keperibadian.

“Tiada jalan pintas dalam melahirkan generasi yang berilmu dan berakhlak,” ujarnya.

Jelasnya, jika negara benar-benar mahu mencapai kemajuan, pelaburan terbesar bukan sekadar terhadap pembangunan fizikal, sebaliknya memperkukuh sistem pendidikan, memuliakan guru dan membina insan secara berterusan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN