KUALA PILAH – Aliran trafik di Jalan Seremban-Kuala Pilah dilencongkan ke laluan Seri Menanti selepas sebuah lori terbabas dalam kemalangan di Kilometer 28 jalan berkenaan berhampiran Kampung Gemetir, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Muhamad Mustafah Hussin berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira pukul 1 petang.
Menurutnya, siasatan awal mendapati lori jenis Scania yang dipandu seorang lelaki berusia 35 tahun sedang dalam perjalanan dari Kuala Pilah menghala ke Seremban.
“Apabila tiba di satu selekoh, sebuah kereta yang nombor pendaftarannya belum dikenal pasti dari arah bertentangan dipercayai memasuki laluan lori berkenaan.
“Pemandu lori bertindak mengelak ke kiri sebelum melanggar tembok simen dan seterusnya terbabas ke bahagian kanan jalan. Dia bagaimanapun tidak cedera,” katanya. – KOSMO! ONLINE














