fbpx
Mohd. Nafuzi

Nafuzi kembali terajui Terengganu FC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA TERENGGANU – Bekas ketua jurulatih skuad bawah 23 tahun kebangsaan, Mohd. Nafuzi Zain sah kembali mengemudi Terengganu FC (TFC) bagi saingan musim hadapan.

Jurucakap TFC berkata, jurulatih berusia 48 tahun itu telah menandatangani kontrak dua musim membimbing skuad Sang Penyu sehingga Mei 2028.

“Pelantikan ini menyaksikan kembalinya jurulatih yang cukup sinonim dengan TFC selepas beliau pernah membimbing pasukan ini dari 2019 hingga 2022.

“Sepanjang tempoh tersebut, beliau berjaya mengangkat TFC sebagai antara pencabar utama Liga Super apabila menamatkan saingan di tangga ketiga pada musim 2020 sebelum muncul naib juara Liga Super dan Piala FA pada musim 2022,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap TFC berkata, kepulangan Mohd. Nafuzi tepat pada masanya sewaktu kelab tersebut sedang melalui proses pembinaan semula pasukan dengan hala tuju lebih jelas dan berdaya saing.

Beliau berkata, pengurusan kelab percaya pengalaman serta pemahaman
bekas penyerang Terengganu terhadap budaya pasukan, selain hubungan erat dengan penyokong akan menjadi aset penting dalam usaha mengembalikan TFC ke landasan yang diharapkan.

“Sebagai persediaan menghadapi musim baharu, beliau (Nafuzi) sudah mula mengenal pasti beberapa pemain tempatan dan import serta membentuk barisan kejurulatihan,” katanya.

Kosmo! Online 27 Jun lalu melaporkan Mohd. Nafuzi hampir pasti kembali membimbing skuad Penyu selepas tiga tahun meninggalkan pasukan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN