PETALING JAYA – Pas menegaskan kekal konsisten bahawa kewajipan utama setiap ahlinya turun mengundi serta memastikan kemenangan semua calon Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas Malaysia, Khairul Nadzir Helmi Azhar berkata, undi ahli Pas wajib diberikan kepada semua calon yang bertanding atas tiket PN tanpa mengira parti komponen yang diwakili.
Menurutnya, berhubung kenyataan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mengenai kesediaan memberi undi kepada calon Barisan Nasional (BN) di kawasan tidak ditandingi oleh PN, perlu difahami dalam konteks strategi politik yang lebih besar.
“Matlamat utamanya ialah memastikan dominasi Pakatan Harapan (PH), khususnya pengaruh DAP sebagai parti terbesar dalam gabungan itu, dapat disekat demi menjaga kepentingan rakyat dan masa depan Johor.
“Pemuda Pas berpandangan strategi memecahkan penguasaan PH merupakan satu keperluan mesti difahami oleh semua pihak. Dalam suasana politik hari ini, setiap undi mempunyai nilai strategik untuk menentukan hala tuju pentadbiran negeri selepas pilihan raya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, dalam masa sama sebarang pertimbangan mengundi calon selain PN di kerusi tertentu hendaklah dilihat sebagai strategi politik yang bertujuan menghalang kemaraan PH.
“Strategi tersebut bukan dasar umum dan boleh berubah mengikut keperluan serta perkembangan semasa.
“Keutamaan Pas tetap konsisten, iaitu memperkukuhkan penguasaan politik Melayu-Islam, memastikan kemenangan PN sebanyak mungkin, serta menghalang PH dan DAP daripada menguasai negeri Johor.
“Inilah pendirian yang sentiasa menjadi asas pertimbangan Pas dalam setiap keputusan politik,” katanya.
Khairul Nadzir berkata, Pemuda PAS menyeru seluruh ahli dan penyokong agar tidak terpengaruh dengan naratif yang cuba mengelirukan masyarakat.
“Kekalkan disiplin perjuangan, patuhi arahan parti, dan utamakan kemenangan Perikatan Nasional sebagai agenda utama dalam PRN Johor.
“Undi wajib kepada PN. Strategi politik di kerusi lain bertujuan mengekang kemaraan PH. Keutamaan kita tetap sama iaitu mempertahankan kepentingan Islam, Melayu dan masa depan Johor,” katanya. – KOSMO! ONLINE














