PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) menjangkakan hujan lebat, ribut petir dan angin kencang di beberapa daerah di Semenanjung, Sabah dan Sarawak khususnya sebahagian besar kawasan Pantai Timur sehingga pukul 7 malam ini.
Menurut MetMalaysia, di Perak, kawasan yang terlibat ialah Kinta, Perak Tengah, Kampar, Bagan Datuk, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim.
Katanya, di Kelantan pula, hujan lebat dijangka melanda daerah Tumpat, Kota Bharu, Bachok dan Pasir Puteh, manakala seluruh Terengganu turut diramal mengalami keadaan cuaca sama.
“Bagi Pahang, kawasan yang diramalkan terjejas ialah Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Jerantut, Bentong, Temerloh, Maran, Kuantan, Pekan dan Rompin.
“Di Selangor, amaran melibatkan Sabak Bernam, Hulu Selangor dan Hulu Langat, selain Jelebu di Negeri Sembilan,” lapor MetMalaysia.
Tambah jabatan itu, negeri Johor turut tidak terkecuali apabila daerah Segamat, Kluang, Mersing, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru dijangka mengalami ribut petir, hujan lebat serta angin kencang sepanjang petang ini.
“Di Sarawak, kawasan yang berada dalam senarai ialah Daro dan Matu di Mukah, Kapit dan Bukit Mabong (Kapit), Tatau (Bintulu), Telang Usan (Miri) serta Limbang.
“Sementara itu di Sabah, amaran melibatkan kawasan Pedalaman iaitu Sipitang, Tenom dan Tambunan, selain seluruh Pantai Barat serta Beluran di Sandakan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE














