KOTA TINGGI – Lagi tindakan khianat dikesan berlaku apabila papan tanda (billboard) kempen Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Raja, Fakharuddin Moslim dikoyak dipercayai perbuatan pihak tidak bertanggungjawab.
Fakharuddin menerusi satu kenyataan media menyifatkan perbuatan khianat tersebut berlaku kerana ada pihak tertentu yang berasa tidak senang dengan kempen yang sedang dijalankannya.
”Nampaknya ada yang tak senang dengan kempen kami sampai billboard pun jadi sasaran.
“Tak apa. Billboard boleh diganti, tapi semangat kami untuk berkhidmat kepada rakyat Pasir Raja tidak akan pernah luntur,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut menggesa semua pihak agar bersaing secara matang sepanjang tempoh berkempen.
”Mari kita berkempen secara sihat dan biar rakyat yang menentukan pilihan mereka di peti undi,” katanya lagi.
Susulan kejadian itu, Fakharuddin memaklumkan satu laporan polis akan dibuat bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan oleh pihak berkuasa. – KOSMO! ONLINE














