TAIPING – Polis mengesahkan seorang wanita, Nor Afiza Zainuddin, 41, yang dilaporkan hilang sebelum ini telah ditemui dan tidak diculik oleh mana-mana pihak.
Pemangku Ketua Polis Daerah Taiping, Superintendan Mohd. Ariffridzuan Ezahar berkata, wanita itu yang dilaporkan hilang pada 18 Jun lalu tampil ke Balai Polis Kajang, Selangor pada pukul 3 petang tadi.
Beliau berkata, Nor Afiza membuat laporan polis bagi menafikan dakwaan dia telah diculik.
“Melalui laporan polis yang dibuat, orang hilang (OH) turut memaklumkan dia tidak mahu diganggu oleh ahli keluarga atau mana-mana pihak,” katanya di sini, hari ini.
Beliau berkata, Nor Afiza memaklumkan dia keluar dari rumah pada 16 Jun lalu dengan kerelaan hati sendiri tanpa sebarang paksaan daripada mana-mana individu.
“Keterangan OH telah selesai dirakam dan pihak polis mengesahkan laporan yang dibuat adalah benar dan mendapati wanita itu dalam keadaan baik, selamat tanpa sebarang kecederaan.
“Sehubungan itu, pihak polis menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berhubung kejadian ini yang boleh menimbulkan kegusaran kepada awam dan masyarakat setempat,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan Nor Afiza dilaporkan hilang selepas keluar dari kediamannya di Taman Mewah, Kamunting.
Wanita itu dikatakan keluar untuk menghadiri sesi temuduga di Hotel Casuarina Kuala Kangsar sebelum disedari hilang oleh ahli keluarganya. – KOSMO! ONLINE














