PORT DICKSON – Seorang warga emas tidak menyangka perkongsian mengenai kucing peliharaannya yang diberi makan ubi kayu goreng di laman sosial disebabkan dia kehabisan sumber kewangan meraih perhatian luar biasa dalam kalangan netizen.
Rosly Omar, 67, berkata, susulan video tular tersebut, dia menerima banyak sumbangan makanan kucing, barang makanan harian serta kelengkapan dapur dan wang mencecah hampir RM2,000 yang dimasukkan terus ke akaun bank miliknya.
Katanya, dia hanya mahu berkongsi kisah hidupnya kepada orang ramai lebih-lebih lagi dia kini tinggal berseorangan dengan ditemani lima ekor kucing yang ‘dikutip’ dari merata tempat termasuk di kawasan tong sampah sekitar tempat dia tinggal.
Menurutnya yang tinggal menumpang teduh di rumah pemberian individu yang menemukannya selepas ditinggalkan oleh majikan di Lukut, dia kini memperoleh pendapatan daripada jualan barangan kitar semula yang dikutip di kawasan sekitar.
Katanya, selain itu dia turut bergantung kepada bantuan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dengan jumlah keseluruhan kira-kira RM800 sebulan.
“Kalau dapat RM50 sehari, RM20 saya akan guna untuk beli makanan kucing.
“Saya tidak kisah makan apa sahaja, asalkan kucing-kucing saya dapat makan. Kucing-kucing ini lebih suka makan ikan dan ayam.
“Cuma minggu lalu, saya tiada duit. Jadi, saya goreng ubi kayu untuk beri kucing-kucing tersebut makan. Saya menangis bila melihat haiwan tersebut makan,” katanya ketika ditemui di Kampung Baru Sungai Menyala, di sini semalam.
Katanya, tujuannya berbuat demikian hanya mahu berkongsi kisah hidup seperti pemilik akaun sosial lain.
“Ada dalam kalangan mereka yang ada kalanya tunjuk makan cekodok, kuih bengkang, jadi saya pun nak kongsi ubi kayu goreng saya,” katanya yang berasal dari Kedah.
“Saya ucapkan terima kasih banyak-banyak pada siapa sahaja yang membantu tanpa mengira kaum,” katanya.














