PETALING JAYA – Orang ramai berkongsi pengalaman merasai ‘penyeksaan’ berdepan suhu panas di negara-negara Eropah melebihi 35 darjah Celsius (°C), sekali gus disifatkan sangat melampau kepanasannya berbanding keadaan ketika cuaca panas dan kurang hujan di negara ini.
Pengalaman tersebut dikongsikan mereka menerusi ruangan komen selepas seorang pengguna Thread memuat naik hantaran seolah-olah ‘mengejek’ keadaan cuaca panas di United Kingdom (UK) ketika ini, dengan membandingkan situasi itu di Malaysia.
“UK cecah 35°C, habis kecoh satu negara. Kita 37°C sepanjang tahun relaks je,” katanya.
Berikutan itu, pelbagai komen mengkritik lelaki tersebut dan mereka beramai-ramai ‘mengajarnya’ berhubung keadaan cuaca panas di UK berbeza jauh sekali dengan di negara ini.
“Panas sini panas lain, jenis yang tarik kulit. Tambah lagi infrastruktur atau rumah-rumah dekat sini dibina untuk perangkap panas sebab musim sejuk panjang dari bulan September sampai ke Mei sejuk. Mereka membesar dengan empat musim dan biasa musim sejuk. Awak datang sini dan cuba, tengok awak tahan ke tak. Malaysia tentulah relaks sebab infrastruktur kita dibina untuk elak panas dan semua ada pendingin udara. Jangan main cakap jika awak tak ada dalam kasut orang lain. Awak cuba, kena strok haba,” komen pengguna Thread Mrsoconnor yang tinggal di UK.
“Tak kena langsung perbandingannya. Mungkin dia tak pernah rasa panas kering macam mana. Walau tak pernah pun, kan dah belajar Geografi masa sekolah dulu,” komen Lizabubakar.
“Mungkin boleh mengembara sekitar Eropah waktu gelombang panas, tengok menggelupur ke tak,” kata Hnizmn.
“Masalah dekat UK sana rumah tak ada pendingin udara. Ada kipas je, tu pun tak kuat sangat. Yang naik pengangkutan awam lagi masalah sebab dalam tu tak ada pendingin udara, berpeluh lah dalam kereta api. Bau jangan cerita,” kata Naimsuhaimi.abdrazak.
Semalam media melaporkan, rekod suhu tertinggi bagi bulan Jun di UK dipecahkan sebanyak tiga kali dalam tempoh satu hari, ketika gelombang haba melampau terus melanda negara itu, menurut Jabatan Meteorologi UK (Met Office).
Suhu tertinggi mencecah 36.7°C direkodkan di Merryfield, Somerset, selepas bacaan sebelumnya 36.6°C di Yeovilton, yang turut mengatasi rekod terdahulu pada hari yang sama. – KOSMO! ONLINE














