fbpx
DEMBELE (tengah) meledak hatrik ketika membantu Perancis membenam Norway untuk mara selaku juara kumpulan. - AFP

Piala Dunia 2026: Perancis pamer kemahuan tinggi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BOSTON – Penolong jurulatih Perancis, Guy Stephan mengingatkan barisan pemain supaya tidak terlalu selesa menjelang saingan kalah mati Piala Dunia 2026 walaupun merekodkan aksi sempurna di peringkat Kumpulan I.

Pada aksi terakhir semalam, Les Bleus menepati ramalan apabila ‘sapu bersih’ sembilan mata selepas mudah menewaskan Norway 4-1 hasil jaringan hatrik Ousmane Dembele.

Stephan yang terpaksa mengambil alih tugas di tepi padang selepas ketua jurulatih, Didier Deschamps pulang ke Perancis kerana kematian ibunya mengakui bangga dengan mentaliti pemain di atas padang.

“Pertama sekali, ingatan kami bersama Didier (Deschamps). Kami tidak sabar untuk beliau kembali dan beliau akan bersama kami semula ketika latihan hari ini.

“Bagi perlawanan ini, kami melakukan apa yang perlu. Kami benar-benar menikmati cara kami bermain, penuh intensiti, mencipta banyak peluang dan menjaringkan empat gol.
“Dembele berjaya meledak hatrik, manakala Desire Doue menjaringkan gol tandukan pertama dalam kariernya. Semua itu adalah perkara positif yang perlu kami teruskan,” katanya.

Bagaimanapun, Stephan mengakui masih terdapat beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki sekiranya mahu melangkah jauh pada kempen kali ini.

“Masih ada beberapa situasi di mana kami tidak berada pada tahap terbaik dan perkara itu perlu diperbetulkan. Semakin jauh kami mara dalam kejohanan ini, semakin kuat lawan yang bakal dihadapi. Kami perlu terus berwaspada.

“Buat masa ini, kami gembira dengan kemenangan ini dan akan menikmatinya, tetapi esok kami kembali bekerja bersama Didier,” katanya.

Sementara itu, pertahanan Perancis, Maxence Lacroix mengakui kemenangan tersebut memberi suntikan keyakinan buat skuad Les Bleus selepas menamatkan saingan peringkat kumpulan dengan tiga kemenangan daripada tiga perlawanan.

“Saya sukar menggambarkan perasaan ini. Banyak emosi, kegembiraan dan kami menutupnya dengan kemenangan. Kami bermain dengan sangat baik dan berjaya muncul juara kumpulan,” katanya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN