SEBERANG PERAI – Seramai 1,346 daripada 5,030 penagih yang dikesan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dalam tempoh Januari hingga Mac tahun ini mengalami dual diagnosis, iaitu ketagihan dadah serta masalah kesihatan mental.
Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Datuk Ruslin Jusoh berkata, ia menjadi cabaran baharu kepada agensi itu berikutan peningkatan pengambilan dadah sintetik bukan sahaja menyebabkan ketagihan, malah memberi kesan terhadap kestabilan mental pengguna.
Katanya, jumlah itu menunjukkan peningkatan ketara berbanding tahun lalu apabila hanya 548 daripada 9,361 penagih atau enam peratus direkodkan mengalami dual diagnosis.
“Dual diagnosis maksudnya bukan sahaja mereka ketagih, tetapi mengalami masalah mental. Itu satu cabaran kita untuk menangani sebab kita tahu fokus utama kita adalah memberi rawatan kepada masalah penagihan dadah tapi sekarang masalah baharu timbul,” katanya selepas menghadiri Majlis Perasmian Sambutan Peringatan Hari Antidadah Kebangsaan 2026 di Dataran Sungai Muda, Kampung Titi Merdeka di sini hari ini.
Menurutnya, antara masalah mental yang dikesan dalam kalangan penagih terbabit termasuk kemurungan, keadaan hampir berhalusinasi serta gangguan yang menyebabkan mereka tidak stabil dari segi emosi dan pemikiran.
“Peningkatan dual diagnosis itu banyak dikaitkan dengan penggunaan dadah sintetik yang semakin meningkat di negara ini, khususnya dalam kalangan golongan muda. Berdasarkan rekod AADK, kadar penagihan dadah sintetik kini mencapai 73 peratus daripada keseluruhan kes penagihan, dengan majoritinya melibatkan bahan jenis ATS (amphetamine-type stimulant) seperti syabu, pil kuda dan ecstasy. -KOSMO! ONLINE














