BEKAS ketua jurulatih bawah-23 kebangsaan, Nafuzi Zain hampir pasti kembali mengemudi semula Terengganu FC (TFC) pada musim depan.
Sumber Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) berkata, bekas pengendali skuad Sang Penyu hanya menunggu masa untuk diumumkan secara rasmi sebagai ketua jurulatih baharu oleh pihak pengurusan kelab dalam tempoh terdekat.
“Segala persiapan melibatkan ketua jurulatih dan barisan kejurulatihan sudah pun selesai.
“Sekarang cuma menunggu pengumuman rasmi daripada pihak pengurusan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di Kuala Terengganu semalam.
Kosmo! 25 Jun lalu melaporkan sebahagian besar penyokong TFC menyambut baik kemungkinan kepulangan Nafuzi berdasarkan rekod cemerlang yang pernah dilakarnya bersama skuad Penyu.
Sepanjang mengemudi TFC dari 2019 hingga 2022, bekas penyerang Terengganu itu berjaya mengangkat prestasi pasukan sehingga muncul antara pencabar utama Liga Super selain membawa skuad tersebut beraksi ke pentas Asia.
Difahamkan, kepulangan Nafuzi turut membabitkan beberapa individu yang sinonim dalam barisan kejurulatihannya dan dijangka akan bersama menggalas tugas bersama beliau. – KOSMO! ONLINE














