fbpx
AB RAHAMAN meninjau proses penamaan calon DUN Puteri Wangsa di SMK Bandar Dato Onn, Johor Bahru hari ini. Foto RAJA JAAFAR ALI/KOSMO!

PRN Johor: Polis lulus 26 permit kempen, jangka permohonan bertambah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JOHOR BAHRU – Polis Johor telah meluluskan sebanyak 26 permit kempen di seluruh negeri kepada parti-parti politik yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16, bermula hari ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab. Rahaman Arsad berkata, jumlah permit kempen yang diluluskan pihaknya dijangka akan bertambah berdasarkan permohonan yang diterima dan penilaian oleh Ketua Polis Daerah di kawasan masing-masing.

“Setakat hari ini, kita telah meluluskan sebanyak 26 permit kempen untuk seluruh negeri Johor.

“Kita percaya lebih banyak permit ceramah umum akan diluluskan berdasarkan penilaian pihak Ketua Polis Daerah,” katanya selepas meninjau Pusat Penamaan Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Dato’ Onn, di sini hari ini.

Tambah Ab. Rahaman, proses penamaan calon yang berlangsung di semua 56 pusat penamaan calon seluruh negeri berjalan lancar tanpa sebarang insiden yang mengganggu ketenteraman dan kesejahteraan awam.

“Sehingga tamat waktu penamaan calon iaitu pukul 10 pagi tadi, polis tidak menerima sebarang laporan berkaitan kejadian provokasi yang insiden lain yang boleh menjejaskan kelancaran proses penamaan calon.

“Dengan erti kata lain, proses penamaan calon di 56 pusat penamaan calon seluruh negeri Johor berjalan lancar dan tiada mana-mana pihak mengganggu perjalanan penamaan calon,” katanya.

Beliau turut memberitahu, seramai 4,832 pegawai dan anggota polis Kontinjen Johor diatur gerak bagi melaksanakan tugas kawalan keselamatan di semua pusat penamaan calon.

“Selain itu, seramai 437 pegawai dan anggota trafik turut diatur gerak untuk memantau aliran trafik serta mengiringi pemimpin dan penyokong parti politik yang hadir,” katanya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN