LEBIH sudu daripada kuah, barangkali itu perumpamaan tepat untuk ditepek ke muka pengurus artis yang ‘terpaling’ menjaga selebriti daripada soalan-soalan pihak media.
Panas lagi berita berbisik ke telinga Diva tentang seorang pengurus artis yang didakwa terlalu ‘menjaga’ hingga lupa adab asas.
Menurut sumber itu, dia menghubungi pengurus tersebut bagi mendapatkan maklum balas tentang prestasi lakonan artis jagaannya yang sedang mekar dalam drama terbaharu ketika ini.
Niatnya jelas, mahu memberi liputan positif, namun apa berlaku? Balasannya hanya sepatah dua seperti enggan melayan malah soalan yang diajukan juga seperti dihantar ke alam ghaib, hilang tanpa jejak, barangkali dibaca bunian sahaja.
Diva tidak terkejut, bukan kali pertama nama pengurus ini disebut sebagai ‘kekwat’. Apa yang boleh dikatakan, kalau semua perkara dianggap sensitif, baik simpan sahaja artis itu dalam almari kaca.
Bagi Diva, industri hiburan bukan bergerak solo, media antara nadi utama. Jangan masa lancarkan produk sahaja mahu bermuka manis depan media.
DIVA: Tebalnya bedak salah seorang anggota kumpulan nasyid popular tanah air, gerun tengok.














