PETALING NAYA – Saluran televisyen utama Radio Televisyen Malaysia (RTM) iaitu TV1, TV2 dan TV Okey akan terus disiarkan di platform Astro, NJOI dan Sooka sekali gus memastikan akses kepada kandungan awam terus dinikmati seperti biasa.
Kerjasama strategik yang diperkukuhkan antara RTM dan Astro itu malah turut menyaksikan saluran Berita RTM, Sukan+ serta rangkaian saluran radio RTM bakal mula ditawarkan kepada pelanggan Astro dalam masa terdekat.
Menerusi kenyataan bersama hari ini, RTM dan Astro memaklumkan, kerjasama itu bertujuan memperkukuhkan pembangunan kandungan tempatan serta memastikan kandungan berkualiti terus dapat dinikmati rakyat menerusi pelbagai platform penyiaran.
Menurut kenyataan itu, kedua-dua organisasi berpandangan landskap media massa kini memerlukan pendekatan yang lebih progresif, inklusif dan berorientasikan masa hadapan selaras dengan perubahan teknologi serta corak penggunaan media yang semakin berkembang.
“RTM dan Astro komited untuk terus memperluaskan kerjasama strategik yang mampu merancakkan pembangunan kandungan tempatan, memperkasa bakat kreatif negara serta menyumbang kepada pertumbuhan industri media yang lebih mampan, berdaya saing dan relevan.
“Kedua-dua pihak juga menyambut baik peluasan penyiaran saluran RTM di platform Astro, termasuk Berita RTM, Sukan+ serta rangkaian saluran radio RTM yang dijangka memperluaskan akses rakyat kepada kandungan awam berkualiti, dipercayai dan relevan,” menurut kenyataan itu.
RTM dan Astro turut berkongsi aspirasi yang sama untuk mewujudkan ekosistem media yang mampan, mesra pengguna serta memberikan nilai terbaik kepada rakyat.
Menurut kenyataan itu lagi, kerjasama lebih erat antara pemain industri penting bagi memastikan akses kepada kandungan berkualiti terus diperkasakan pada kos yang berpatutan tanpa membebankan rakyat.
Kedua-dua pihak yakin kerjasama yang diperkukuhkan itu bukan sahaja memberi manfaat kepada RTM dan Astro, malah memperkukuhkan industri media tempatan serta memperluaskan akses rakyat kepada kandungan yang berkualiti, dipercayai dan relevan.
Sebelum ini, RTM mengumumkan saluran TV1, TV2 dan TV Okey akan menamatkan penyiaran di platform Astro bermula 1 Julai 2026 selepas hampir tiga dekad kerjasama.
Keputusan itu dibuat susulan kegagalan kedua-dua pihak mencapai persetujuan berhubung kadar harga dan kontrak penyiaran yang memenuhi kemampuan kewangan masing-masing, sekali gus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pelanggan Astro mengenai akses kepada saluran penyiar awam berkenaan. – KOSMO! ONLINE














