KUALA LANGAT – Situasi banjir di Kampung Rancangan Tanah Belia (RTB) Bukit Changgang di sini semakin pulih apabila paras air dilaporkan menyusut kira-kira 0.6 meter setakat pukul 9.30 pagi ini.
Penurunan itu memberi kelegaan kepada penduduk yang terjejas selepas kawasan berkenaan dilanda banjir susulan rebakan ban sejak semalam.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, berdasarkan laporan pegawai di lapangan mengesahkan trend penurunan paras air di lokasi berkenaan.
“Bagaimanapun, anggota bomba masih meneruskan kerja-kerja pemantauan di lokasi bagi memantau perkembangan semasa dan memastikan keadaan kekal selamat,” katanya hari ini.
Sementara itu, tinjauan Kosmo! mendapati laluan di sekitar kampung itu kini bebas daripada limpahan air banjir seterusnya membolehkan kenderaan ringan termasuk motosikal melaluinya.
Namun, terdapat beberapa lokaliti masih digenangi air dengan beberapa penduduk didapati melihat keadaan kediaman mereka
Dalam pada itu, berdasarkan portal info bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setakat pukul 10.14 pagi ini, merekodkan 569 mangsa daripada 250 buah keluarga masih ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan RTB Bukit Changgang. – KOSMO! ONLINE














