BILLINGS, MONTANA – Seorang lelaki warga Britain diminta berhenti di tepi sebuah lebuh raya di negeri Montana kerana memandu kenderaan diubah suai menyerupai buah pisang, lapor agensi berita United Press International.
Imej dimuat naik di platform Facebook oleh Peronda Lebuhraya Montana (MPH) menunjukkan kenderaan berbentuk pisang itu berhenti di tepi lebuh raya Interstate 90 dekat bandar Billings, baru-baru ini.
“Kami sering menahan pemandu yang memandu laju, pemandu tidak fokus dan beberapa kenderaan ‘luar biasa’ tetapi kali ini memang menonjol. Kereta Pisang Besar ini ditahan dekat Billings.
“Walaupun ia kelihatan ‘menggoda’, undang-undang lalu lintas masih terpakai untuk buah,” demikian menurut hantaran itu.
Pemandunya, Steve Braithwaite berkata, dia tidak asing dengan sekatan jalan raya.
“Mereka bukan sahaja ingin melihat kereta saya, namun terdapat beberapa kotak yang sebahagiannya menutup nombor pendaftaran kenderaan bertulis ‘SPLIT’,” kata Braithwaite.
Dia dimaklumkan mengenai isu tersebut dan dilepaskan tanpa dikenakan saman. – AGENSI














