BUKAN mudah untuk anak seni dari Asia Tenggara menembusi industri kreatif antarabangsa.
Kekangan budaya, persaingan yang terlampau sengit dan cabaran industri sering kali menjadi penghalang besar yang mematikan impian ramai anak muda di negara asing.
Bagaimanapun, kisah inspirasi komposer dan penggubah muzik, Joy Ngiaw membuktikan sebaliknya. Jati diri yang kuat dan usaha tanpa henti mampu menepis segala kekangan itu, sekali gus membuktikan bakat Malaysia kelahiran Kampung Kemayan, Bera, Pahang ini juga mampu berdiri sama tinggi di pentas dunia.
Di sebalik kejayaannya memenangi trofi Anugerah Emmy baru-baru ini menerusi gubahan muzik untuk siri animasi Apple TV+, WondLa, cerita sebenar di sebalik tabir adalah tentang bagaimana dia bertahan dan berjuang di bumi asing.
Berkongsi kepada K-Wanita menerusi e-mel baru-baru ini, Joy, 31, menyatakan realiti kehidupan di perantauan adalah satu perjalanan yang panjang dan penuh pengorbanan.
Dilahirkan di Kemayan, sebuah kampung kecil di Bera, Pahang, anak sulung daripada tiga beradik ini memulakan langkahnya dari bawah.
Dia kemudiannya dibesarkan dengan mengikut keluarga berulang-alik antara Malaysia dan China.
Di China, Joy mendapat pendidikan di sebuah sekolah antarabangsa sebelum berpindah ke Boston, Amerika Syarikat, untuk mendalami bidang gubahan Film Scoring (muzik filem) di institusi muzik terkemuka dunia, Berklee College of Music.
Selepas tamat pengajian, Joy nekad berhijrah ke Los Angeles demi mengejar impiannya untuk menulis muzik bagi industri filem dan televisyen.
Di kota metropolitan itulah, kembara seninya bermula dari bawah sebagai seorang pembantu kepada komposer-komposer Hollywood sedia ada, sebelum dia perlahan-lahan mengukuhkan namanya sendiri sebagai komposer solo sepanjang 11 tahun pengalamannya.
Joy pada Mac lalu mencipta sejarah sebagai anak Malaysia pertama meraih Anugerah Emmy dengan memenangi kategori Pengarahan Muzik dan Komposisi Terbaik bagi Program Animasi
Meskipun sebahagian besar usia dewasanya dihabiskan di luar negara, hubungan emosi Joy dengan Malaysia tidak pernah putus. Ibu bapa dan saudara-maranya juga menetap di Malaysia.
BAGI Joy Ngiaw, bahkan, kenangan zaman kanak-kanak yang paling dirindui adalah detik berkumpul bersama keluarga besar setiap kali menjelang Tahun Baru Cina di kampung halamannya di Pahang.
“Memori masa kecil saya yang paling indah sudah pastinya waktu menyambut Tahun Baru Cina bersama keluarga di Kemayan. Itulah masanya kami semua berkumpul dan saya dapat berjumpa dengan ramai mak cik, pak cik dan sepupu-sepupu.
“Suasana itu sentiasa mengingatkan saya tentang betapa pentingnya nilai keluarga dan masyarakat,” kongsi Joy mengimbau kenangan lalu.

Namun, suasana meriah itu kini jarang dapat dirasai kerana jadual kerja yang sangat padat di Hollywood.
Joy kini hanya sempat pulang ke Malaysia setahun sekali, berbeza sewaktu dia tinggal di China dahulu, di mana dia boleh pulang melawat keluarga dua kali setahun.
Kerana jarang pulang, perkara utama yang paling membuatkan dia rindu pada tanah air ialah kehangatan masyarakatnya, kemesraan keluarga serta sudah tentulah makanan tempatan seperti nasi lemak, char kuetiau dan roti canai.
Bagi Joy, keunikan Malaysia paling terserlah pada kepelbagaian budayanya dan dia percaya makanan tempatan adalah cerminan terbaik bagi keharmonian itu.
Uniknya, kerinduan dan identiti sebagai anak Malaysia itulah yang dipegang erat walaupun dia bekerja dalam persekitaran Barat yang sangat kompetitif.
Sementara itu, Joy menegaskan, nilai murni yang diajar oleh keluarganya sentiasa dibawa ke mana-mana sahaja dia pergi.
Malah, dia memilih untuk menyuntik elemen warisan Asia Tenggara ke dalam karya muzik komersialnya di Hollywood apabila dirasakan bersesuaian dengan jalan cerita.
“Semasa bekerja di luar negara, saya tidak pernah lupa pesanan keluarga atau asal usul saya. Saya juga suka ambil inspirasi daripada muzik yang saya dengar waktu membesar.
“Contohnya, untuk muzik siri WondLa, saya masukkan instrumen tradisional seperti guzheng, liuqin dan nhi serta gayageum untuk cipta bunyi yang unik. Ini cara saya menghormati budaya sendiri, sekali gus menghasilkan muzik yang ada identiti terserlah,” jelasnya.
Walaupun berjaya menghasilkan karya luar biasa melalui muzik, perjalanan untuk membina nama di Hollywood sebagai seorang penggubah muzik wanita memerlukan ketabahan yang tinggi.
Dedah Joy, sepanjang dia membina kerjaya, tidak banyak komposer wanita yang diberi peluang untuk mengendalikan projek-projek besar di sana dan sering kali berdepan dengan situasi yang menguji kewibawaannya.
“Saya selalu masuk ke dalam bilik mesyuarat dan mendapati saya adalah satu-satunya wanita di situ. Malah, pernah ada pihak yang terkejut apabila saya perkenalkan diri sebagai komposer utama, sebab mereka ingat saya hanyalah seorang pembantu.
“Pengalaman sebegini buat saya sedar yang saya kena kerja dua kali lebih keras untuk buktikan kemampuan diri. Ia juga jadi peringatan penting tentang betapa perlunya ada lebih banyak keterbukaan terhadap penglibatan wanita dalam industri ini,” kata Joy.

Dalam pada itu, sebelum ini, wujud tanggapan salah dalam industri bahawa komposer wanita hanya layak menghasilkan muzik untuk filem ringan seperti komedi romantik, dan bukannya untuk projek aksi besar atau fantasi yang sarat dengan babak mencabar.
Peluang menguruskan siri WondLa digunakan sebaiknya oleh Joy untuk menepis tanggapan lapuk itu.
Dalam projek ini, dia diberi tanggungjawab besar untuk babak-babak aksi, di mana dia menggabungkan muzik moden sintesis (synths) dengan gubahan orkestra besar bagi melahirkan identiti muzik yang unik untuk setiap watak dan lokasi.
Malah sebelum ini, bakatnya turut mendapat kepercayaan penuh daripada studio gergasi Skydance Animation apabila dia dipilih untuk menggubah muzik bagi filem pendek Blush, malah gubahannya kini digunakan sebagai ‘muzik logo rasmi’ bagi studio animasi antarabangsa tersebut.
Jika diimbas kembali, kekuatan Joy untuk berdepan dengan segala cabaran ini sebenarnya berakar umbi daripada hubungan akrabnya dengan dunia muzik sejak kecil lagi.
Dia mula belajar bermain piano klasikal seawal usia enam tahun.
Di China, dia mula mengasah bakat kolaborasinya dengan mengiringi koir sekolah dan orkestra.
Sebagai seorang kanak-kanak yang sensitif, Joy menggunakan muzik sebagai cara untuk meluahkan perasaan yang tidak mampu diungkap dengan kata-kata.
Antara pengaruh awal yang mencetuskan minatnya ialah pengalaman menonton filem animasi The Lion King berulang kali bersama ibunya, selain mendapat inspirasi daripada filem-filem hebat pengarah legenda Jepun, Hayao Miyazaki.
Berkat ketabahan sejak kecil itu, hari yang dinantikan akhirnya tiba apabila namanya diumumkan sebagai pemenang Anugerah Emmy.
Namun di sebalik trofi tersebut, detik paling bermakna dalam kerjayanya adalah apabila dia menerima mesej daripada komposer muda Asia yang menyatakan bahawa kejayaan Joy membuatkan mereka percaya impian mereka juga boleh menjadi kenyataan.
Selain itu, seiring dengan tahun 2026, Joy juga bakal mencatat satu lagi sejarah tersendiri menerusi filem Solo Mio yang akan menjadi karya pertamanya bagi filem teater menemui penonton di layar perak.
Mengakhiri bicara, dia mengingatkan agar tiada sesiapa yang harus berasa kerdil hanya kerana faktor asal-usul atau jantina.
“Sebagai golongan wanita dari Asia Tenggara, kita sering kali dididik untuk menjadi ‘kecil’ iaitu untuk sentiasa berdiam diri, bersikap terlalu sopan dan membiarkan orang lain mendahului kita.
“Namun, saya belajar bahawa terdapat satu kekuatan yang sebenar apabila kita berani mengambil ruang, memiliki suara sendiri dan mempercayai naluri diri,” azam Joy menutup bicara.














