fbpx
Tangkap layar video yang dimuat naik Fahmi di Instagramnya.

1 maut, seorang cedera insiden elak diberkas polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Cubaan tiga individu untuk meloloskan diri daripada pemeriksaan polis berakhir dengan tragedi apabila seorang daripada mereka maut selepas dipercayai terjun dari sebuah jejambat di ibu negara.

Dalam kejadian itu, seorang lagi suspek yang turut melakukan tindakan sama mengalami kecederaan patah kaki, manakala rakannya berjaya diberkas polis selepas kereta dinaiki dipintas anggota polis malam semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, kejadian bermula pada pukul 7.45 malam apabila anggota Unit Kereta Peronda Balai Polis Petaling Jaya yang melakukan rondaan cegah jenayah mengejar kereta Proton Wira disyaki terlibat dalam kegiatan jenayah.

Beliau berkata, anggota mengejar kenderaan itu dari Lebuh Raya Baru Pantai (NPE) berhampiran Plaza Tol Taman Dato’ Harun, Petaling Jaya sehingga ke Jalan Pantai Dalam.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, kereta yang dipandu lelaki tempatan itu melanggar sebuah Perodua Axia yang bergerak di lorong sama.

“Anggota polis kemudian mengambil tindakan menghalang Proton Wira itu sehingga berlaku pelanggaran pada bahagian sisi kenderaan pasukan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Fadil, sebaik kereta Wira itu berhenti, pemandunya bertindak keluar dan dipercayai terjun dari jejambat sebelum ditemukan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Mayat lelaki itu dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut.

“Dua penumpang Proton Wira berusia 29 dan 31 tahun masing-masing patah kaki kanan dan tidak cedera. Mereka ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya.

Fadil berkata, pemeriksaan di dalam kereta suspek menemukan beg mengandungi barangan disyaki dadah jenis syabu dan pil kuda. Ujian saringan air kencing mendapati suspek yang ditahan positif methamphetamine.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan M. Hussin Sollehuddin Zolkifly berkata, kedua-dua suspek yang ditahan memiliki lima rekod jenayah dan empat rekod dadah dengan  seorang daripada mereka dikehendaki bagi kes dadah.

“Suspek pertama direman lima hari sehingga 29 Jun ini, manakala suspek kedua direman dua hari bagi membantu siasatan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan (KK) kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas, Seksyen 279KK iaitu memandu secara melulu dan berbahaya, Seksyen 307KK kerana cubaan membunuh serta Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Terdahulu, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil yang melalui lokasi kejadian turut berkongsi insiden tersebut di akaun Instagramnya. Pada mulanya beliau menyangka berlaku kemalangan sebelum dimaklumkan terdapat operasi polis.

“Dalam perjalanan ke Pantai Dalam tadi, saya menyaksikan satu kejadian. Mula-mula saya ingatkan kemalangan, tapi rupanya operasi pihak polis mengejar suspek kes dadah.

“Polis berjaya tangkap beberapa suspek yang cuba melarikan diri. Syabas dan terima kasih kepada pasukan Polis Balai Pantai atas tindakan pantas serta komitmen berterusan dalam memastikan keselamatan dan ketenteraman penduduk setempat sentiasa terpelihara,” katanya.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN