KUALA LUMPUR – Spekulasi mengenai masa depan Ng Tze Yong akhirnya terjawab apabila Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengesahkan pemain perseorangan lelaki badminton negara itu akan meninggalkan badan induk berkenaan secara persetujuan bersama, berkuat kuasa 30 Jun ini.
Keputusan itu dicapai selepas kedua-dua pihak mengadakan perbincangan dan bersetuju bahawa langkah tersebut merupakan pilihan terbaik buat pemain berusia 26 tahun itu untuk memulakan fasa baharu dalam karier profesionalnya.
Sepanjang bersama skuad kebangsaan, Tze Yong muncul antara sandaran utama negara dalam acara perseorangan lelaki, malah pernah menghuni ranking ke-14 dunia pada November 2023, kedudukan tertinggi sepanjang kariernya.
Anak jati Johor itu turut memainkan peranan penting membantu Malaysia meraih pingat perak perseorangan lelaki dan emas acara berpasukan campuran pada Sukan Komanwel Birmingham 2022, selain menyumbang emas Kejohanan Badminton Berpasukan Asia 2022 serta gangsa Piala Sudirman 2021 dan 2023.
Namun, momentum cemerlangnya tidak berpanjangan apabila dibelenggu beberapa siri kecederaan serius sejak dua tahun lalu, termasuk kecederaan belakang pada 2024 dan koyakan ligamen anterior lutut (ACL) pada tahun berikutnya yang memaksanya menjalani pembedahan serta proses pemulihan yang panjang.
Presiden BAM, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, Tze Yong sentiasa memberikan komitmen tinggi sepanjang menyarung jersi negara dan menyifatkan pemain itu sebagai aset penting kepada skuad kebangsaan.
“Tze Yong merupakan anggota penting pasukan negara dan sentiasa membawa nama Malaysia dengan penuh kebanggaan di pentas antarabangsa. Walaupun kecederaan menjejaskan kemajuannya dalam beberapa tahun kebelakangan ini, semangatnya sepanjang proses pemulihan amat mengagumkan.
“Selepas perbincangan yang mendalam, kedua-dua pihak bersetuju bahawa ini adalah laluan terbaik pada peringkat ini. Bagi pihak BAM, saya mengucapkan terima kasih atas segala sumbangannya kepada badminton negara dan mendoakan beliau terus sihat serta berjaya dalam apa jua yang diusahakan selepas ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Tze Yong merakamkan penghargaan kepada BAM, barisan kejurulatihan, pegawai sokongan dan rakan sepasukan yang banyak membantunya sepanjang bergelar pemain kebangsaan.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada BAM atas segala peluang, bimbingan dan sokongan yang diberikan selama ini. Mewakili Malaysia sentiasa menjadi satu penghormatan buat saya.
“Buat masa ini, keutamaan saya adalah untuk pulih sepenuhnya dan mendapatkan semula tahap kecergasan sebelum kembali ke gelanggang. Saya berharap dapat memulakan lembaran baharu dalam karier saya,” katanya. -KOSMO! ONLINE














