fbpx
Gambar hiasan.

Dewan Rakyat: Lebih RM4 bilion dana bantu PKS masih tersedia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Lebih RM4 bilion daripada peruntukan RM5 bilion di bawah Kemudahan Bantuan Kestabilan Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME SRF) Bank Negara Malaysia (BNM) masih tersedia bagi membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) berdepan cabaran ekonomi semasa.

Menteri Ekonomi, Datuk Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, sehingga 18 Jun lalu, pembiayaan melebihi RM700 juta telah diluluskan kepada lebih 1,000 PKS.

“Lebih RM4 bilion daripada peruntukan masih tersedia, sekali gus memberi ruang mencukupi untuk membantu syarikat menguruskan aliran tunai dan mengurangkan gangguan operasi,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Mohd. Syahir Che Sulaiman (PN-Bachok) mengenai langkah mitigasi kerajaan melalui Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) bagi menangani peningkatan kehilangan pekerjaan dan pengecilan operasi perniagaan susulan krisis tenaga serta ketidaktentuan ekonomi global.

Akmal berkata, kerajaan turut menyediakan kemudahan jaminan pembiayaan menerusi dana tambahan Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad berjumlah RM5 bilion bagi menyokong pembiayaan kepada PMKS.

Katanya, PKS yang berdepan kekangan aliran tunai boleh menghubungi institusi kewangan masing-masing untuk mendapatkan penyelesaian, dengan permohonan diproses dalam tempoh tujuh hari bekerja.

Selain itu, kerajaan melaksanakan Pakej Daya Tahan Ekonomi Pemacu Anjakan Kemahiran dan Kebolehkerjaan (PACE) bernilai lebih RM710 juta bagi melindungi sektor pekerjaan serta memastikan kelangsungan perniagaan.

“Lebih RM580 juta disalurkan melalui Perkeso bagi mengukuhkan Sistem Insurans Pekerjaan, RM100 juta melalui HRD Corp untuk latihan dan penempatan kerja, selain RM20 juta bagi latihan pekerja gig dan RM10 juta melalui TalentCorp untuk latihan industri di PMKS serta syarikat pemula,” katanya.

Beliau turut memaklumkan kerajaan memperkukuh pemantauan bekalan dan harga barangan keperluan serta bahan mentah kritikal bagi sektor pembuatan, makanan, pertanian dan perkhidmatan.

Mengulas soalan tambahan mengenai krisis bekalan global, Akmal berkata kerajaan dijangka membentangkan kenyataan menteri berhubung perkara itu di Dewan Rakyat pada Isnin depan, tertakluk kepada kelulusan Parlimen. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN