fbpx
Keadaan banjir di sekitar Kampung RTB Bukit Changgang, Kuala Langat. Foto oleh AFIQ RAZALI

Ban Pecah: Lima minit air naik, 3,000 penduduk RTB terkepung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LANGAT – Lebih 3,000 penduduk di Kampung Rancangan Tanah Belia (RTB) Bukit Changgang di sini berdepan detik cemas selepas kampung mereka ‘terkepung’ banjir susulan ban pecah, malam tadi.

Kejadian ban pecah itu dipercayai berlaku kira-kira 10.30 malam susulan hujan berterusan sejak pukul 12 tengah hari hingga malam.

Tinjauan Kosmo! mendapati limpahan air beransur naik menenggelami sebahagian besar rumah penduduk sehingga satu meter selain memutuskan laluan keluar masuk penduduk dengan hanya boleh dilalui kenderaan pacuan empat roda dan berat.

Seorang penduduk, Suriah Abdullah, 37, berkata, dia dikejutkan anak lelakinya berusia tujuh tahun selepas menyedari air mula memasuki rumah mereka kira-kira pukul 7 pagi

“Anak saya kejutkan dan tanya air datang dari mana. Dalam masa lima minit sahaja air naik terlalu cepat sehingga paras paha.

“Semua pakaian dan barangan dalam rumah habis ditenggelami air. Saya tinggal di kawasan rendah dan kedai tomyam yang saya usahakan turut terjejas,” katanya kepada Kosmo! hari ini.

Bapa kepada dua anak itu memaklumkan dia terpaksa mendukung anak bongsu perempuan berusia empat tahun sejauh 70 meter ketika menyelamatkan diri daripada rumah yang dinaiki air.

Seorang lagi penduduk, Mohd. Amir Abd. Malek, 37, berkata, ini merupakan kejadian pertama dialaminya sejak tinggal dua tahun di kampung berkenaan.

Ujarnya, limpahan air berlaku cepat dalam tempoh lima hingga 10 minit sehingga paras paha menyebabkan segera memindahkan isteri dan empat anaknya ke Pusat Pemindahan Sementara di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Changgang.

“Sekarang rumah saya dipercayai sudah ditenggelami air sehingga paras pinggang ketika ini dan limpahan didapati makin naik.

“Saya hanya mampu tengok rumah. Syukur dapat keluarkan kereta jenis Perodua Kancil ini,” jelasnya.

Beberapa buah kenderaan milik penduduk kampung yang dinaiki banjir. Foto oleh AFIQ RAZALI

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung RTB Bukit Changgang, Noor Hazmir Muhammad berkata, kawasan berkenaan mula terjejas sekitar pukul 10.30 malam semalam sebelum keadaan menjadi semakin buruk kira-kira dua jam kemudian di beberapa lokaliti di kampung itu.

Beliau berkata, kampung tersebut terletak di kawasan rendah yang menerima limpahan air dari Sungai Langat sekali gus menyebabkan banjir berlaku dengan cepat.

“Banjir paling teruk pernah berlaku pada 2012 dan 2021. Namun kejadian kali ini tetap memberi kesan besar kepada lebih 3,000 penduduk kerana berlaku secara mendadak.

“Kita menjangkakan banjir ini mungkin berlarutan sehingga seminggu bergantung kepada keadaan cuaca dan paras air,” ujarnya.

Beliau berharap proses baik pulih ban tersebut disegerakan dengan kerajaan telah meluluskan peruntukan RM4 juta bagi projek pembinaan ban baharu yang difahamkan baru bermula kira-kira seminggu lalu dan dijangka siap sebelum tahun depan.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil, Datuk Seri Jamil Salleh berkata, pihaknya turun padang bagi memastikan semua mangsa menerima bantuan sewajarnya serta berada dalam keadaan selamat.

“Kita tidak mahu ada penduduk yang terperangkap dan tidak dapat keluar dari kawasan banjir.

“Selain isu ban, saya berharap pihak berkaitan memantau penyelenggaraan sistem perparitan dan longkang di kawasan berkenaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN