fbpx
Keadaan lori tiga tan membawa muatan ikan yang terbabas selepas merempuh sebuah motosikal. Foto JBPM SELANGOR

Lori muatan ikan rempuh motosikal, seorang maut, dua cedera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

HULU SELANGOR – Seorang penunggang motosikal maut, manakala dua lelaki cedera selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan sebuah lori tiga tan yang membawa muatan ikan di Batang Kali, Kuala Kubu Bharu, di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian pada pukul 5.09 pagi itu, mangsa yang maut merupakan lelaki tempatan berusia 29 tahun, manakala pemandu lori berusia 60 tahun tersepit di kaki dan kelindan berusia 45 tahun mengalami kecederaan.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 5.09 pagi.

Beliau berkata sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu dengan bantuan BBP Bukit Sentosa dikejarkan ke lokasi.

“Seramai 12 anggota bersama dua jentera tiba di lokasi pada pukul 5.39 pagi. Sebaik tiba, didapati kemalangan melibatkan sebuah lori tiga tan yang membawa muatan ikan dan sebuah motosikal Yamaha Avantis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, pemandu lori didapati tersepit pada bahagian kaki namun masih dalam keadaan sedar, manakala kelindannya telah berjaya keluar daripada kenderaan sebelum dihantar ke hospital oleh orang awam.

“Anggota bomba kemudian menjalankan kerja-kerja menyelamat menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit. Mangsa berjaya dikeluarkan sebelum diserahkan kepada pasukan ambulans untuk mendapatkan rawatan lanjut,” ujarnya.

Ashrul Riezal berkata, penunggang motosikal pula disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, operasi yang melibatkan 12 anggota bomba itu ditamatkan sepenuhnya pada pukul 7.11 pagi selepas keadaan disahkan selamat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN