PONTIAN – “Kehilangan Khairudin menambah episod duka keluarga selepas kehilangan adik arwah, Muhamad Amirudin akibat kanser April lalu.”
Demikian luahan pilu Abu Hassan So’od, 63, bapa kepada pemandu lori treler, Muhamad Khairudin, 29, yang maut dalam kemalangan membabitkan enam kenderaan di Kilometer 31.9 Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Sedenak, Kulai kelmarin.
Menurut Abu Hassan, dia langsung tidak menyangka anak sulung daripada empat beradik itu menjadi mangsa tragedi ngeri berkenaan.
“Adik arwah, Muhamad Amirudin, 26, meninggal dunia akibat kanser April lalu. Kehilangan kedua-dua anak lelaki dalam tempoh singkat amat sukar diterima keluarga, sekali gus menambah episod duka keluarga.
“Kehilangan arwah amat dirasai kerana Khairudin banyak membantu keluarga terutama dari segi perbelanjaan harian memandangkan dia sudah tidak bekerja.
“Kehilangan arwah menjadikan kami kini tinggal dua anak perempuan, Maria Azura, 24, dan Maria Akila, 21,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sungai Pinggan, Benut di sini semalam.
Katanya, pagi kelmarin dia keluar ke pekan Pontian dan bila pulang ke rumah kira-kira pukul 11 pagi, anak saudara yang tinggal berhampiran memintanya bersabar dan bertenang.
Ujarnya, dia dimaklumkan Khairudin meninggal dunia selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya di Kulai.
Terdahulu, keluarga Abu Hassan menerima kunjungan Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Semalam, Kosmo! melaporkan, kemalangan berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Kulai itu melibatkan sebuah lori kontena, treler membawa muatan besi pagar, pacuan empat roda, van, lori 10 tan membawa jubin dan sebuah lori bonded satu tan.
Dalam kejadian itu, beberapa kenderaan turut terbakar menyebabkan kesesakan lalu lintas selama beberapa jam.
Abu Hassan berkata, isterinya, Siti Salmah Mohd. Mazlan, 50, sehingga kini masih terkejut selepas menerima berita anaknya terlibat dalam kemalangan tersebut.
Menurutnya, kali terakhir isterinya bertemu arwah adalah pada Ahad lalu ketika Khairudin pulang ke rumah sebelum bertolak ke Muar pada petang Isnin bagi mengambil lori dan membawa muatan bahan cerucuk ke Johor Bahru.
Jenazah arwah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Parit Tengah petang kelmarin bersebelahan pusara adiknya yang meninggal dunia beberapa bulan lalu.
















