BERASAL dari Setiu, Terengganu, gadis yang juga merupakan seorang pencipta kandungan media sosial (influencer) ini memiliki minat cukup mendalam terhadap alam semula jadi.
Laut, sungai, muara dan suasana hutan bukanlah sesuatu yang asing buat dirinya. Sejak kecil, Nasha lebih gemar menghabiskan masa dengan aktiviti luar berbanding berada di rumah.
Daripada perasaan cintanya itu, lahirnya minat terhadap dunia memancing yang akhirnya menjadi hobi paling dekat di hati sehingga ke hari ini.
Menurut Nasha, dia mula berjinak-jinak dengan dunia memancing ketika berusia sekitar 12 tahun.
Ketika itu, dia sekadar mengikut ahli keluarganya turun memancing di sungai dan muara berhampiran rumah.
Namun tanpa disedari, aktiviti yang pada awalnya sekadar mengisi masa lapang mula bertukar menjadi satu hobi sukar dipisahkan daripada kehidupannya.
“Dahulu saya ikut ahli keluarga sahaja. Lama-kelamaan, saya mula rasa seronok sebab memancing ini bukan sekadar menunggu dan termenung. Ada cabaran, ada pengalaman dan kepuasan apabila berjaya menaikkan ikan sendiri,” ujarnya.

Bagi kebanyakan pemancing, detik sambaran pertama ikan sering menjadi kenangan yang sukar dilupakan. Perkara yang sama turut dirasai Nasha. Debaran ketika gewang disambar, lenturan joran dan bunyi tali keluar daripada kekili menjadi momen yang membuatkan dirinya semakin jatuh cinta terhadap dunia memancing.
Menariknya, minat tersebut tidak pernah pudar, walaupun kini dia sibuk dengan kerjaya sebagai influencer.
Malah, dunia memancing banyak membantu dirinya menghasilkan kandungan yang lebih dekat dengan alam dan kehidupan sebenar.
Tenang itu mahal
“Setiap trip memancing ada cerita tersendiri. Kadang-kadang, saya balik tangan kosong, kadang-kadang rezeki mewah. Daripada situ saya belajar banyak perkara, terutamanya memahami keadaan air, teknik memancing dan mengenal pelbagai spesies ikan,” katanya.
Menurutnya lagi, memancing juga menjadi terapi terbaik untuk dirinya melupakan kesibukan kerja harian.
Ketika berada di laut atau di tepi sungai, segala tekanan kerja seolah-olah hilang dibawa angin.
Suasana pagi di atas bot, bunyi ombak memukul badan kapal dan langit yang perlahan-lahan berubah warna memberikan satu ketenangan yang sukar digambarkan dengan kata-kata.
Barangkali bagi sesetengah orang, memancing hanyalah aktiviti biasa, namun bagi kaki pancing, kadang terdapat ‘sentimental value’ yang hanya dapat difahami apabila joran berada di tangan.
Sebagai wanita yang aktif dalam dunia memancing, Nasha juga mengakui dirinya tidak terlalu memikirkan soal penampilan ketika berada di lapangan.
Baginya, kulit gelap atau panas terik matahari bukan penghalang untuk menikmati hobi yang diminati.
Menurut Nasha, peluh, panas dan keletihan adalah perkara biasa. Namun semua itu seolah-olah hilang apabila berjaya menaikkan ikan sasaran.
“Soal cantik itu nombor dua, yang lebih penting adalah kepuasan dan pengalaman yang saya dapat setiap kali turun memancing. Saya tak pernah kisah kalau kulit jadi gelap. Sebab bagi saya, itu sebahagian daripada kriteria seorang pemancing,” ujarnya.
Apabila ditanya mengenai teknik pancing, Nasha mengakui dirinya gemar mencuba hampir semuanya. Namun jika diberi pilihan, teknik casting dan jigging tetap menjadi kegemarannya.
Bagi Nasha, kedua-dua teknik itu mempunyai cabaran tersendiri dan memerlukan stamina yang tinggi, selain kemahiran memilih rentak permainan gewang atau jig tepat.

Misalnya, teknik jigging memerlukan kayuhan berterusan serta kawalan pergerakan jig mengikut spesies sasaran. Kesilapan memilih rentak atau kelajuan karauan sering menyebabkan ikan culas untuk menyambar.
Begitu juga dengan teknik casting yang memerlukan ketepatan balingan serta kreativiti memainkan gewang bagi memperdaya ikan pemangsa.
“Jigging dan casting ini lebih mencabar. Pemancing perlu faham karakter ikan dan tahu bagaimana hendak mainkan jig atau gewang dengan betul. Kadang-kadang, penat memang penat, tetapi apabila dapat strike, ‘rasanya’ lain,” ujarnya.
Impian
Walaupun sudah memiliki pengalaman memancing di pelbagai lokasi tempatan, namun Nasha masih menyimpan impian besar dalam dunia memancing.
Dia berharap suatu hari nanti berpeluang merasai pengalaman memancing di luar negara.
Menurutnya, setiap negara mempunyai keunikan tersendiri dari segi spesies ikan, teknik dan budaya memancing.
Peluang memancing di tempat baharu bukan sahaja memberikan pengalaman berharga, malah membuka ruang untuk menambah ilmu dalam dunia pancing.
“Saya memasang impian untuk keluar memancing di luar negara suatu hari nanti. Saya hendak rasa pengalaman dan cabaran di tempat baharu.
“Dalam masa sama, saya juga nak belajar lebih banyak teknik dan tambah ilmu memancing,” katanya.
Sebagai seorang influencer, Nasha juga berharap dapat terus berkongsi pengalaman memancing kepada lebih ramai orang, khususnya golongan muda dan wanita yang mungkin masih malu atau segan untuk menceburi hobi ini.














