fbpx
TANGKAP layar video tular menunjukkan sebuah kenderaan yang merempuh enam motosikal dalam kejadian di Taman Sejati Indah, Sungai Petani malam tadi.

Kemalangan 10 kenderaan, polis siasat dakwaan pemandu diserang sawan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SUNGAI PETANI – Polis sedang menjalankan siasatan terhadap pemandu wanita yang dipercayai menjadi punca kemalangan membabitkan 10 kenderaan di persimpangan lampu isyarat Taman Sejati Indah, di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, siasatan itu termasuk dakwaan bahawa wanita berusia lingkungan 30-an terbabit diserang sawan dalam kejadian kira-kira pukul 9 malam.

Kata beliau, kemalangan tersebut membabitkan empat kereta dan enam motosikal.

“Polis juga sedang melakukan pemeriksaan bagi mengenal pasti tahap kerosakan yang dialami semua kenderaan terlibat,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, pihak polis turut merakam keterangan semua pemandu yang terlibat selain meminta saksi kejadian tampil bagi membantu siasatan.

Kata Hanyan, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika wanita itu memandu dari arah terowong Taman Sejati Indah menghala ke Taman Seri Gedong sebelum melanggar sebuah kenderaan yang sedang berhenti di lampu isyarat kerana lampu merah.

“Perlanggaran itu menyebabkan dua lagi kenderaan di hadapan turut terjejas.

“Dalam masa sama, kereta dipandu wanita terbabit terbabas ke laluan kanan sebelum merempuh enam motosikal yang diletakkan di bahu jalan berhampiran sebuah restoran nasi kandar,” ujarnya.

Beliau berkata, pemandu wanita itu mengalami kecederaan ringan dan dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim untuk mendapatkan rawatan.

“Bagaimanapun, tiga lagi pemandu kereta yang terlibat tidak mengalami sebarang kecederaan,” ujarnya.

Sehubungan itu, Hanyan meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian tersebut dan menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk menjalankan siasatan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN