fbpx
ISHVHERR Singh (dua dari kanan) didakwa mengedar dadah jenis kanabis di Mahkamah Majistret Jitra, hari ini.

Pelajar IPTS dituduh edar 14.63 kg ganja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JITRA – Seorang pelajar sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengedar 14.63 kilogram (kg) kanabis, minggu lalu.

Tertuduh, Ishvherr Singh Jagjit Singh, 24, yang berasal dari Petaling Jaya, Selangor mengangguk faham sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nor Syaliati Mohd. Sobri.

Walau bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh

Mengikut pertuduhan, dia didakwa mengedar 14.63 kg kanabis di sekatan jalan raya Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, dekat sini pada pukul 11.46 pagi, 15 Jun lalu.

Pendakwaan terhadapnya dilakukan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup selain dikenakan tidak kurang 12 kali sebatan, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Polis Diraja Malaysia, Inspektor Sharifah Nurlin Atiqah Wan Idrus, manakala tertuduh diwakili peguam, Datuk Naran Singh.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 5 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia.

Kosmo! pada 17 Jun lalu melaporkan seorang pelajar IPTS di ibu negara ditahan ketika cuba menyeludup 14.63 kg bunga ganja bernilai RM1.17 juta dari Thailand ke negara ini.

Pemuda berusia 24 tahun yang memandu kenderaan pacuan empat roda itu ditahan polis di Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam.

Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan milik keluarga suspek itu menemukan 13 bungkusan plastik berwarna hitam mengandungi 14.63 kg bunga ganja. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN