KUALA LUMPUR – Koperasi Angkatan Tentera Malaysia Berhad (Koperasi Tentera) mengumumkan pembayaran dividen 7.3 peratus membabitkan agihan RM126.2 juta kepada lebih 154,000 anggotanya bagi tahun kewangan 2025.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, agihan tersebut didorong oleh prestasi kewangan memberangsangkan apabila koperasi itu merekodkan keuntungan sebelum cukai dan zakat sebanyak RM153 juta.
Menurut beliau, pendapatan bersih Koperasi Tentera turut meningkat kepada RM278 juta pada tahun lalu berbanding RM253 juta yang dicatatkan pada 2024.
“Sesungguhnya, kejayaan sesebuah koperasi tidak hanya diukur melalui angka keuntungan semata-mata, tetapi sejauh mana manfaat dan hasil kejayaan tersebut dapat dikembalikan kepada para anggotanya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Koperasi Tentera ke-60 di Dewan Perkasa, Wisma Perwira ATM, di sini hari ini.
Adly berkata, sejak ditubuhkan pada tahun 1960, Koperasi Tentera terus mengekalkan kedudukannya sebagai antara koperasi premier negara dengan nilai aset melebihi RM3 bilion.
Katanya, pencapaian tersebut mencerminkan keyakinan berterusan anggota terhadap koperasi yang dibina atas asas kepercayaan, kebersamaan dan tanggungjawab dalam menjaga kebajikan warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
“Koperasi Tentera bukan sekadar sebuah institusi kewangan, sebaliknya merupakan aset strategik warga ATM yang telah berkembang selama enam dekad hasil sokongan dan komitmen anggotanya,” ujarnya.
Tambahnya, Koperasi Tentera akan terus memberi tumpuan kepada aktiviti teras perniagaan serta mengurangkan pendedahan kepada pelaburan baharu yang berisiko bagi memastikan kedudukan kewangan organisasi kekal kukuh dan pembayaran dividen kepada anggota dapat diteruskan secara konsisten. – KOSMO! ONLINE














