JASIN – Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh seorang peniaga di hadapan sebuah kedai gunting rambut, dua tahun lalu.
Tertuduh, P. Kogilanathan, 27, bagaimanapun hanya mengangguk faham sebaik sahaja pertuduha dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Mazana Sinin.
Mengikut pertuduhan, tertuduh bersama-sama tiga lagi individu yang masih bebas didakwa membunuh M. Vinurd, 24, di hadapan Navisha Hairdressing Salon, Jalan Rim Baru, Taman Rim Baru, dalam daerah Jasin antara pukul 8.39 malam hingga 11 malam pada 25 Ogos 2024.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Noor Syazwani Mohamad Yusri, manakala tertuduh diwakili peguam Nur Aida Md. Zainuddin.
Dalam prosiding sama, tertuduh turut didakwa atas pertuduhan memandu sebuah kereta bernombor pendaftaran WUR 1327 secara melulu dan berbahaya kepada orang awam.
Kesalahan itu dilakukan di hadapan kedai aksesori, Taman Asia Selatan, dalam daerah Jasin pada pukul 7.30 malam, pada 4 Mac 2024. Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan pihak pendakwaan mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000 dikenakan.
Selepas mendengar hujah kedua belah pihak, mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000, namun dia kekal ditahan sehingga sebutan semula kes pada 26 Ogos depan sementara menunggu laporan forensik. – KOSMO! ONLINE














