fbpx
DENNIS (tiga dari kiri) menunjukkan pelbagai jenis dadah pada sidang akhbar di IPK Pulau Pinang, hari ini.

Pasangan kekasih dicekup, dadah RM9.7 juta dirampas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GEORGE TOWN – Polis Pulau Pinang berjaya membongkar sindiket pemprosesan dan pengedaran dadah yang didalangi sepasang kekasih dalam dua serbuan berasingan di Butterworth di sini, Jumaat lalu.

Operasi yang dijalankan sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pulau Pinang itu merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM9.7 juta yang dipercayai untuk pasaran tempatan.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim Kwang Keng berkata, suspek lelaki tempatan berusia 35 tahun, manakala wanita tempatan berusia 40 tahun yang juga rakan jenayahnya dipercayai bergerak aktif sejak Januari lalu.

Menurutnya, tangkapan terhadap suspek lelaki dilakukan kira-kira pukul 2.25 petang di kawasan parkir sebuah kondominium di Butterworth.

”Pemeriksaan ke atas sebuah kereta Perodua yang digunakan suspek menemukan tiga peket plastik berisi serbuk disyaki dadah jenis methylenedioxymethamphetamine (MDMA) seberat 220.69 gram.

”Hasil soal siasat awal dan dipandu arah suspek, pasukan JSJN kemudian menyerbu sebuah unit kondominium yang disewa di kawasan sama dan menahan seorang wanita yang dipercayai rakan sejenayahnya,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang, di sini hari ini.

Menurut beliau, pemeriksaan lanjut di unit kondominium berkenaan menemukan sejumlah besar dadah pelbagai jenis termasuk MDMA, ketamin, pil ekstasi, pil Erimin 5 dan cecair syabu dan dadah jenis piu piu yang disimpan serta diproses sebelum diedarkan.

”Suspek dipercayai menjadikan rumah sewaan itu sebagai tempat memproses dan membungkus semula dadah sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.

“Mereka mendapatkan bahan mentah sebelum mencampurkannya dan membungkus semula untuk tujuan pengedaran,” katanya.

Keseluruhan rampasan melibatkan lebih 49 kilogram MDMA, kira-kira tiga kilogram ketamin, 1,630 biji pil ekstasi, 700 biji pil Erimin 5 serta 76 kartrij berisi cecair disyaki syabu.

”Dadah yang dirampas ini dianggarkan boleh digunakan oleh seramai 221,649 penagih. Ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek negatif dadah, namun semakan mendapati mereka mempunyai rekod lampau jenayah,” ujarnya.

Beliau berkata, polis turut menyita wang tunai berjumlah RM2,300 mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988, menjadikan nilai keseluruhan rampasan dan sitaan sebanyak RM9.71 juta.

”Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bermula 20 Jun hingga 26 Jun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. -KOSMO! ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN