fbpx
Akmal Nasrullah.

Dewan Rakyat: Malaysia mampu hadapi kesan jika Selat Hormuz ditutup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Malaysia masih berupaya menampung kesan gangguan perdagangan sekiranya berlaku penutupan Selat Hormuz menerusi penyesuaian rantaian bekalan, penyerapan kos oleh firma serta pelbagai langkah intervensi kerajaan.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, sebagai ekonomi terbuka, Malaysia tidak terkecuali menerima tempias daripada sebarang gangguan di laluan perdagangan strategik itu, namun situasi berkenaan sentiasa dipantau dan diurus secara berterusan.

Menurut beliau, kerajaan memberi keutamaan untuk melindungi rakyat, memastikan bekalan keperluan asas kekal stabil, membantu industri terus beroperasi serta mengukuhkan daya tahan ekonomi negara.

“Kerajaan telah menggerakkan langkah intervensi melalui empat kluster utama termasuk perlindungan rakyat serta penstabilan bekalan dan harga.

“Pemantauan harian turut dilaksanakan terhadap bekalan dan harga barangan keperluan, selain penyelarasan bersama Petronas dan pemain industri bagi memastikan bekalan tenaga negara terus terjamin,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Dr. Richard Rapu @ Aman Anak Begri (GPS-Betong), Datuk Seri Utama Hasni Mohammad (BN-Simpang Renggam) dan Datuk Seri Mohd. Puzi Sh. Ali (BN-Pekan) mengenai impak penutupan Selat Hormuz terhadap ekonomi dan perdagangan Malaysia.

Akmal berkata, asas ekonomi negara kekal kukuh dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berkembang 5.4 peratus pada suku pertama tahun ini, disokong oleh permintaan domestik yang memberangsangkan.

Tambah beliau, kerajaan juga memperkukuh bantuan dan subsidi bersasar termasuk menerusi Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Budi Madani RON95, Budi Madani Diesel dan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi bagi mengurangkan tekanan kos sara hidup rakyat.

Dalam masa sama, katanya, kerajaan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh diversifikasi perdagangan dan pelaburan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi memastikan negara lebih bersedia menghadapi sebarang kejutan ekonomi global pada masa hadapan.

“Langkah ini penting supaya negara mempunyai pilihan bekalan yang lebih luas sekiranya gangguan global berpanjangan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN