fbpx

Anggrek juara TTMM2, tundukkan Hussain, Azeva

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Mencipta kejutan, peserta termuda, Anggrek yang baru berusia sembilan tahun bersama ibunya selaku pengurus, Adira  dinobatkan sebagai juara pertandingan realiti Talk To My Manager musim kedua TTMM2).

Berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Anggrek atau nama sebenarnya Anggrek Adnan Abu membawakan lagu Aku Stacy untuk persembahan solo serta Sutera duet bersama Aisha Retno.

Kemenangan itu melayakkan pasangan anak beranak itu membawa pulang ganjaran wang tunai berjumlah RM30,000, berserta trofi.

Adira berkata, anaknya layak meraih kejuaraan atas hasil usaha keras yang ditunjukkan sejak awal pertandingan berlangsung hingga ke hari ini.

“Kejayaan ini adalah usaha, kerja keras serta kesungguhannya dan yang berada di atas pentas tadi adalah dirinya sendiri. Terima kasih juga kepada semua termasuk Aisha Retno,” katanya selepas penyerahan hadiah, di sini, hari ini.

Naib juara jatuh kepada Jamilulhayat dan anaknya Hussain yang menerima wang tunai RM15,000, manakala Datuk Seri Vida bersama Cik B di tempat ketiga meraih RM10,000 dan trofi.

Sementara itu, Datuk A. Aida bersama Azeva tidak pulang kosong apabila berada di tempat keempat manakala Safura dan anak lelakinya Kim Khairii sekadar berpuas hati di tangga kelima. Masing-masing turut menerima trofi dan wang tunai sebanyak RM5,000.

TTMM2 The Grand Finale dikendalikan   Datuk Aznil Nawawi selaku pengacara selain barisan juri, Che Puan Sarimah serta Datuk AC Mizal bersama juri jemputan, Datuk Syafinaz dan Hael Husaini.

Lima finalis berentap selama sembilan  minggu sebelum mara ke pentas akhir, peserta lain yang bertanding di pentas sama namun terkeluar awal adalah Ani Maiyuni bersama anaknya Viviana, Datuk Fazley dengan Fariedz Fazley, Linda Jasmine  dan Ratu, Nana Mahazan bersama Althea serta Pak Azad dan Ammara.

TTMM yang memasuki tahun kedua merupakan pertandingan nyanyian unik apabila memberi ruang kepada ibu atau bapa bertindak sebagai pengurus kepada anak masing-masing yang bertanding. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN