Saudara Pengarang,
SETIAP petang hingga malam hujung minggu, penduduk Seksyen 13, Shah Alam terutama berhampiran tapak Stadium Shah Alam terpaksa menadah telinga mendengar bunyi ekzos kenderaan.
Difahamkan, terdapat kumpulan tertentu yang menjadikan lokasi berhampiran tapak stadium untuk berkumpul dan menguji kehebatan kereta masing-masing sehingga mengundang bunyi bising keterlaluan.
Sebagai penduduk, saya berasa bengang kerana keadaan ini sudah seperti menjadi rutin mingguan. Bunyi deruman enjin dan ekzos yang ditekan berulang kali cukup memekakkan telinga, malah kadangkala berlarutan hingga lewat malam.
Apa yang menyedihkan, kawasan ini bukan litar berlumba, tetapi penempatan keluarga, warga emas dan anak kecil.
Ada bayi yang terjaga dari tidur, orang tua terkejut dan penduduk langsung tidak dapat berehat selepas penat bekerja sepanjang minggu.
Kami bukan menghalang minat mereka, namun biarlah berpada-pada dan hormati hak penduduk setempat. Saya harap pihak polis, Jabatan Pengangkutan Jalan dan pihak berkuasa tempatan dapat memantau perkara ini. Kami hanya mahu hidup aman pada hujung minggu.
Yang stres
Shah Alam, Selangor
















